GST: Abdul Hadi harap kerajaan buat pertimbangan wajar

Astro Awani
Jun 3, 2022 16:08 MYT
Abdul Hadi berkata sebarang keputusan yang diambil kelak perlu mengambil kira kebajikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. - Gambar fail
MARANG: Cadangan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), wajar mengambil kira pelbagai faktor bagi memastikan ia tidak menambah beban rakyat yang sedang dihimpit situasi inflasi dan kos sara hidup tinggi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pertimbangan secara rasional serta kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengelak golongan kurang berkemampuan menjadi mangsa apabila sistem percukaian itu kembali dilaksanakan.
"Jangan kenakan cukai terhadap barangan asasi...rakyat sudah terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang berlaku sekarang.
"Pertimbangkan ia dengan cara yang saksama iaitu kesannya terhadap bebanan rakyat dan tanggungjawab (yang perlu dilakukan) kerajaan," katanya.
Abdul Hadi ditemui selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.
Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, tidak menolak kemungkinan mengembalikan GST sebagai cara berkesan menambah pendapatan negara bagi menangani masalah inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Beliau berpandangan, sistem percukaian itu mampu mengembangkan pendapatan asas negara selain membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.
Terdahulu, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST menyebabkan kerajaan tidak mampu menampung pemberian subsidi bahan makanan kepada golongan sasar.
Bagaimanapun, PH membantah hasrat mengembalikan semula GST sekali gus mendakwa akan mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.
#Abdul Hadi Awang #GST #PAS #Perdana Menteri
;