Grid pintar TNB bantu pengguna kurang belanja bil elektrik
Bernama
Februari 16, 2015 22:06 MYT
Februari 16, 2015 22:06 MYT
Teknologi grid pintar Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang kini di peringkat perintis, dapat membantu pengguna mengurangkan perbelanjaan bil elektrik mereka.
"Kami berharap dapat memasang meter pintar ini bagi 8.5 juta pelanggan isi rumah dalam tempoh 10 tahun," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Azman Mohd.
Grid pintar merupakan rangkaian elektrik menggunakan teknologi digital dan menghubungkan pembekal, pengedar dan pengguna.
"Ia akan membantu pengguna memantau penggunaan tenaga mereka," katanya kepada pemberita selepas Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh merasmikan program 'TNB Better Brighter Internship' dan 'Makmal Grid Pintar UNITEN' di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai teknologi itu, beliau berkata: "Dengan meter pintar di rumah, anda boleh menetapkan mesin basuh berfungsi pada waktu bukan puncak.
"Ini akan memberi lebih kawalan bil tenaga dan membantu mengurangkan kejadian terputus bekalan pada waktu puncak."
TNB memulakan projek perintis bernilai RM2 juta pada dua tahun lepas untuk mempromosikan penggunaan dan pengeluaran tenaga efisen.
Projek perintis itu melibatkan penggantian 1,000 meter analog lama dengan meter pintar yang melibatkan 200 dipasang di kediaman di Putrajaya manakala baki 800 di Melaka, dan hasil penemuan dijangka dikeluarkan pada akhir tahun.
Azman berkata Makmal Grid Pintar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) membolehkan pelajar dan penyelidik menjalankan aplikasi sebenar berkaitan teknologi Grid Pintar.
"Setakat ini, makmal berkenaan bertujuan untuk pengajaran dan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
"Kami berharap ia akan menjadi pusat kecemerlangan dalam teknologi grid pintar," katanya.