Greece lakukan kawalan modal, hanya boleh keluarkan 60 Euro sehari

APTN
Jun 29, 2015 15:19 MYT
KATROUGALOS: Rakyat Greece perlu bersuara dan apabila mereka bersuara, mereka akan menolak cadangan pemberi pinjaman tersebut.
Negara bermasalah Greece akhirnya terpaksa melakukan kawalan modal selepas rundingan hutang menemui jalan buntu bersama pemberi pinjaman antarabangsa.
Perdana Menteri Alexis Tsipras mengumumkan penutupan operasi bank sehingga 6 Julai dan kawalan pengeluaran wang oleh penduduk kepada hanya 60 Euro sehari.
Langkah itu susulan Bank Pusat Eropah membatalkan hasrat untuk menyuntik lebih banyak dana ke dalam bank Greece sekali gus mneyebabkan dana di bank terbantut.
Tindakan Bank Pusat itu susulan cadangan Greece untuk mengadakan pungutan suara rakyat berkaitan cadangan pemberi pinjaman.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Greece George Katrougalos berpendapat pemberi pinjaman bimbang sekiranya pungutan suaran dilakukan kerana rakyat Greece akan menolak cadangan pemberi pinjaman.
Ini jelas kerana pemberi pinjaman dan kerajaan Greece bercanggah dalam pelan reformasi ekonomi Greece bagi membolehkan dana 7.2 bilion Euro yang dibekukan, diserah kepada Greece.
"Rakyat Greece perlu bersuara dan apabila mereka bersuara, mereka akan menolak cadangan pemberi pinjaman tersebut.
"Namun ia bukan bermakna kami mahu keluar Euro, kami mahu kekal," katanya.
Pemberi pinjaman mahu potongan perbelanjaan ketat dan penjimatan yang sebelum ini dilaksanakan kerajaan terdahulu.
Namun Tsipras yang memimpin kerajaan baru tidak mahu pelan penjimatan sebaliknya mahu tumpu kepada pertumbuhan negara.
Sejak minggu lepas rundingan Greece bersama pemberi pinjaman tegang selepas tiada kata putus berjaya dicapai.
Lebih memberri tekanan tarikh akhir bagi Greece membayar hutang 1.5 juta Euro adalah 30 Jun ini.
Permohonan Tsipras untuk melanjutkan tarikh akhir juga ditolak sekaligus meninggalkan Greece tanpa sebarang pilihan.
Sementara itu Cyprus yang juga berdepan masalah kewangan dana menerima bantuan dari pemberi pinjaman terus menyokong Greece.
Cyprus meskipun dalam telah meminjam sejumlah besar wang dari badan antarabangsa bercadang mahu memberikan 330 juta Euro bagi membantu bank di Greece.
Perkembangan terbaru di Greece menarik jatuh pasaran Asia.
Indeks Nikkei 225 jatuh 2 peratus pada sesi pagi diikuti pasaran lain termasuk Kospi yang jatuh sebanyak 1.6 peratus.
#Euro #George Katrougalos #Greece
;