GREAT 2014 Landasan Keusahawanan Terhebat

Agensi
Oktober 7, 2014 16:14 MYT
Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT 2014) telah menyaksikan lebih 6,000 pengunjung menyertai perhimpunan usahawan Malaysia.
Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT 2014) telah menyaksikan lebih 6,000 pengunjung menyertai perhimpunan usahawan Malaysia, start-up, dan badan-badan dana dari 17hb September sehingga 20hb September 2014 di MaGIC, Cyberjaya. Dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 17hb September 2014 yang lalu, GREAT 2014 adalah hasil usaha inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia.
GREAT 2014 menghimpunkan pakar-pakar dan penggerak industri dari pelbagai bidang merangkumi bidang pemakanan, pertanian, teknologi, gaya hidup, seni kreatif dan keusahawanan wanita telah mengambil bahagian dalam acara 4 hari ini. Acara ini merupakan landasan untuk usahawan berinteraksi dengan tokoh perniagaan yang telah berjaya, pelabur serta badan-badan yang menawarkan dana.
GREAT 2014 yang diilhamkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah bertujuan untuk menjadi pemangkin ekosistem keusahawanan di Malaysia dan mengumpul sumber ilmu serta pelbagai kepakaran dari masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Program di GREAT 2014 membolehkan mereka cemerlang dalam bidang keusahawanan berkongsi idea inovatif mereka. Selain itu, usahawan yang berminat boleh menghadiri bengkel dan ceramah yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan usahawan yang berpengalaman luas. Dengan menghadiri program-program yang sedia ada, para usahawan dapat bertukar pengetahuan dan pendapat, meneroka cara-cara untuk meningkatkan tahap kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.
GREAT 2014 menggalakkan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam seminar, bengkel dan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi Kerajaan dan usahawan terkemuka. Ia juga menawarkan tip-tip penting mengenai perancangan kewangan, nasihat perniagaan, amalan pembiayaan orang ramai dan cara penyediaan, peluang francais, keusahawanan wanita, klinik khusus perniagaan, bengkel perniagaan runcit dalam talian dan juga sesi perkongsian oleh usahawan francais yang terkenal dan pemimpin industri korporat. Pelajar sekolah berupaya mendapatkan pendedahan awal dalam bidang keusahawanan dan belajar bagaimana untuk menyelesaikan masalah, memangkinkan pemikiran kreatif dan membuat keputusan dalam tujuan untuk mengubah mereka menjadi pemimpin hari esok.
GREAT 2014 diakhiri dengan cabaran ais yang menyaksikan para usahawan dan tokoh keusahawanan termasuk Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah sendiri menyahut cabaran untuk disimbah sebaldi ais bagi tujuan kebajikan. Sumbangan yang diterima akan diberikan kepada beberapa rumah kebajikan seluruh Malaysia.
Diharap GREAT akan menjadi acara tahunan supaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dalam merealisasikan visi Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
#ekosistem keusahawanan #entrepreneurship #GREAT 2014 #MaGIC #Malaysia #MOF #NSU #Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah #usahawan
;