GRANTT Lubricants ‘melincirkan’ Borneo Safari untuk tahun kelapan berturut-turut

Israr Khalid
September 4, 2024 18:40 MYT
Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman bersama Presiden SFWDA Faez Nordin seusai memeterai LoA penajaan Cabaran Off-Road Antarabangsa Borneo Safari 2024.
KLANG: Untuk tahun kelapan berturut-turut, UMW Lubetech Sdn Bhd menjadi Penaja Platinum dan minyak pelincir rasmi untuk Cabaran Off-Road Antarabangsa Borneo Safari 2024.

Ringkasan AI
  • UMW Lubetech Sdn Bhd menjadi Penaja Platinum dan pembekal minyak pelincir rasmi untuk Cabaran Off-Road Antarabangsa Borneo Safari 2024, meneruskan kerjasama mereka untuk tahun kelapan berturut-turut.
  • Borneo Safari 2024 akan berlangsung dari 27 Oktober hingga 3 November, mengumpulkan sekitar 500 kenderaan dan 2,000 peserta dari seluruh dunia untuk meredah hutan Ranau dan Telupid di Sabah selama lapan hari.
  • UMW Lubetech mempromosikan Minyak Enjin Diesel Quasar keluaran Grantt Lubricants, yang direka khusus untuk enjin diesel moden, melalui kempen perdagangan untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan pengguna terhadap produk berkualiti tinggi ini.

Bakal berlangsung dari 27 Oktober hingga 3 November ini, acara kembara permotoran lasak terbesar Asia Tenggara itu akan mengumpulkan sekitar 500 kenderaan dengan 2,000 peserta dari serata dunia untuk meredah hutan Ranau dan Telupid di Sabah selama lapan hari.
Borneo Safari menjadi acara ikonik yang menarik para peminat sukan ‘off-road’ dari dalam dan luar negara selama 32 tahun, mencabar manusia dan mesinnya melawan landskap Borneo yang lasak dan liar.
Maka, kolaborasi yang terjalin antara Borneo Safari yang dikelolakan oleh Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA) dengan UMW Lubetech Sdn Bhd menyatukan komitmen yang dikongsi bersama, untuk menggapai keunggulan, ketahanan, dan menolak sempadan halangan.
UMW Lubetech Sdn Bhd melalui GRANTT Lubricants yang dikenali dengan reputasinya sebagai pengeluar pelincir berkualiti tinggi yang tahan pada keadaan paling keras, adalah rakan kongsi yang paling tepat untuk acara ini, memandangkan Borneo Safari tidak hanya sebuah acara menduga kemahiran pemanduan, tetapi juga menguji ketahanan kenderaan.
“Kami percaya dengan Grantt Lubricants, enjin kami akan dilindungi sebaiknya, memastikan prestasi puncak ketika kami menelusuri muka bumi Sabah yang mencabar,” ujar Presiden SFWDA Faez Nordin.
Cabaran yang bermula dari Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah di Jalan Gaya itu menggamit perhatian yang besar serta membawa suasana pesta ke Kota Kinabalu setiap kali penganjurannya.
Tahun lepas, upacara ‘Flag-Off’ disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, diiringi Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.
Surat perjanjian (LoA) ditandatangani Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman mewakili UMW Lubetech Sdn Bhd, bersama Faez Nordin mewakili SFWDA, berlangsung di UMW Lubetech, Pulau Indah, Selangor pada Selasa.
Ia turut disaksikan Pengurus Besar UMW Lubetech Sdn Bhd Iskandar Mohamed Salleh, Ketua Jualan dan Pemasaran UMW Nor Helynda Ali, Naib Presiden SFWDA Alex Leong, Pengurus Penajaan dan Dagangan SFWDA CS Hao, serta Pengurus Pemasaran dan Promosi SFWDA Alison Murugesu.
Sempena itu juga, dilancarkan Kempen Perdagangan untuk meningkatkan kesedaran dan penerimaan pengguna terutamanya yang mengendalikan kenderaan berat dan industri, terhadap produk Minyak Enjin Diesel Quasar keluaran Grantt Lubricants.
Juga, untuk mendidik pengguna mengenai kepentingan menggunakan minyak enjin berkualiti untuk memastikan prestasi dan ketahanan enjin.
“Minyak Enjin Diesel Quasar ini adalah minyak enjin berkualiti tinggi yang direka khusus untuk enjin diesel moden, dengan formula aditif unik yang memberikan perlindungan unggul terhadap kehausan, serta memastikan enjin beroperasi pada prestasi maksimum dalam pelbagai keadaan,” kata Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman.
Katanya, respons pengguna terhadap Minyak Enjin Diesel Quasar adalah sangat positif di mana ramai yang melaporkan peningkatan prestasi enjin selepas menggunakannya.
Grantt Lubricants berharap mereka dapat terus dekat dengan pelanggan melalui program kesetiaan, kempen lanjutan, dan sokongan selepas jualan.
“Kami juga akan terus berinovasi dalam penghasilan produk baharu dan memperbaiki formula sedia ada untuk memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah,” kata Pengurus Besar UMW Lubetech Sdn Bhd Iskandar Mohamed Salleh.
#UMW #GRANTT #Quasar #Borneo Safari
;