GRANTT Lubricants lancar dua produk minyak hidraulik mesra alam terbaharu
Israr Khalid
September 4, 2024 16:00 MYT
September 4, 2024 16:00 MYT
KLANG: UMW Lubetech Sdn Bhd melancarkan dua produk terbaharu dari GRANTT Lubricants, iaitu Minyak Bio-Hidraulik VG 32 dan Minyak Bio-Hidraulik Gred Makanan VG 46.
Ringkasan AI
- UMW Lubetech Sdn Bhd melancarkan dua produk baru dari GRANTT Lubricants, iaitu Minyak Bio-Hidraulik VG 32 dan Minyak Bio-Hidraulik Gred Makanan VG 46, yang lebih mesra alam dan selamat.
- Kedua-dua produk ini diformulasi daripada minyak kelapa sawit bermutu tinggi, mendapat Pensijilan MyHijau, dan sesuai untuk peralatan hidraulik di persekitaran sensitif.
- UMW menyasarkan untuk menjual 1 juta liter produk ini tahun ini melalui saluran pengedaran tempatan dan eksport, dengan komitmen untuk menawarkan produk yang efektif dan mesra persekitaran.
Berfungsi dengan prestasi sama seperti minyak hidraulik konvensional, dua minyak hidraulik ini lebih mesra, selamat dan lestari kepada alam sekitar, dengan tempoh biodegradasi selama 28 hari.
Ia diformulasi daripada asas minyak kelapa sawit bermutu tinggi, ideal untuk kegunaan di persekitaran yang sensitif memandangkan ia bukan bioakumulatif dan kurang toksik, lantas mengurangkan impak buruk seandainya berlaku tumpahan atau kebocoran.
Kedua-dua produk ini mendapat Pensijilan MyHijau, skim pengiktirafan hijau rasmi daripada kerajaan Malaysia yang mengesahkan standard dan kualitinya menepati kehendak pelanggan yang mencari pilihan mesra alam dengan prestasi yang tidak dikompromi.
GRANTT Biohidraulik VG 32 adalah minyak hidraulik terbiodegradasi, bukan fitotoksik yang diperbuat daripada minyak kelapa sawit, dengan indeks kelikatan tinggi dan bahan tambahan antihaus.
Boleh didapati dalam saiz pembungkusan 18 liter, ia sesuai untuk pelbagai peralatan hidraulik seperti forklif, jengkaut, lif, mesin penekan, dan acuan suntikan yang memerlukan minyak gred ISO 32.
Pada Oktober 2022, GRANTT melancarkan GRANTT Hidraulik VG 46 dan GRANTT Hidraulik VG 68 pada Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM), yang mendapat sambutan baik untuk kegunaan kenderaan industri dan peralatan statik.
Produk ini patuh garis panduan USDA dan FDA untuk kontak makanan tanpa sengaja dan didaftar dengan NSF International H1, dihasilkan dalam fasiliti diiktiraf GMP serta memegang sijil Halal, menepati standard industri makanan Muslim.
GRANTT Minyak Bio-Hidraulik Gred Makanan VG 46, bersama GRANTT Gris Pelbagai Guna Gred Makanan NLGI 2 yang dilancar sebelum ini di IGEM pada Oktober 2023, dirumus untuk melincir peralatan hidraulik dalam pemprosesan dan pembungkusan makanan, industri farmaseutikal dan kosmetik.
Majlis pelancaran GRANTT Bio-Hidraulik VG 32 dan GRANTT Bio-Hidraulik Gred Makanan VG 46 berlangsung di galeri UMW Lubetech di Pulau Indah, disempurnakan oleh Pengarah Urusan UMW Mustamir Mohamad dan Pengarah Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman.
Anas Nasrun memaklumkan bahawa mereka menyasarkan untuk menjual 1 juta liter GRANTT Bio-Hidraulik VG 32 dan GRANTT Bio-Hidraulik Gred Makanan VG 46 tahun ini.
“Kami menyasarkan saluran pengedaran tempatan dan eksport untuk kedua-dua produk ini, yang prestasinya sama dibandingkan dengan minyak hidraulik industri tetapi lebih selamat dan lestari.”
Sementara itu, Mustamir berkata Grantt Lubricants komited untuk mengukuhkan jenamanya sebagai peneraju utama industri pelincir, menawarkan pelbagai produk komprehensif untuk memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia dan di seluruh dunia.
“Kami bermatlamat untuk memastikan produk kami efektif dan mesra persekitaran, mengurangkan jejak ekologikal menerusi inovasi dan pembuatan yang bertanggungjawab.”
Untuk maklumat lanjut tentang Grantt Lubricants dan insiatif-inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya, sila layari www.granttlubricants.com.