GrabPay pertingkat ciri keselamatan bayaran dalam talian

Dagang News
Oktober 9, 2021 08:45 MYT
Salah satu ciri yang diperbaiki ialah 2FA dengan Grab PIN dan biometrik yang amat digalakkan untuk semua pengguna GrabPay.
KUALA LUMPUR: GrabPay, baru-baru ini memperkasakan ciri-ciri keselamatannya yang direka bentuk bagi melindungi para pengguna daripada sebarang risiko penipuan dan keselamatan.
Penambahbaikan ini adalah sebahagian usaha berterusan serta pelaburan Grab demi menyediakan platform pembayaran yang lebih selamat untuk para-pengguna.
Ciri keselamatan berbilang lapisan GrabPay akan membolehkan pengguna Grab melaksana urus niaga digital secara nyata dalam platform ini dengan lebih selamat.
Ketua GrabPay, Grab Malaysia, Priyanka Madan berkata, sepanjang tahun lalu hingga kini, kaedah pembayaran digital secara nyata menjadi pilihan utama warga Malaysia, justeru, GrabPay tidak ketinggalan turut mempertingkatkan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan para pelanggan dan rakan peniaga.
Untuk itu, katanya, GrapPay melebarkan perkongsian dengan penyedia perkhidmatan lain untuk mengintegrasi PayLater oleh Grab supaya dapat menyedia pilihan bayaran inklusif, fleksibel serta memberi ganjaran dan dalam masa yang sama memboleh warga Malaysia mengurus perbelanjaan mereka.
"Hasilnya, pengguna baharu GrabPay yang berjaya membuat pembelian online daripada peniaga pada bulan-bulan awal kempen Shop Malaysia Online telah meningkat sebanyak 35% manakala 80% pengguna PayLater kini sedang menggunakan perkhidmatan ini sebagai perkakas belanjawan untuk merancang pembelian.
"Kini, dengan ciri pengesahan dua faktor (2FA) pada platform ini, para pengguna memiliki ketenangan minda apabila membayar dengan GrabPay," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Salah satu ciri yang diperbaiki ialah 2FA dengan Grab PIN dan biometrik yang amat digalakkan untuk semua pengguna GrabPay.
Dengan anjakan pengguna yang kian meningkat ke arah pembayaran digital di Malaysia, sebanyak 62% pengguna memilih e-dompet dan 52% memilih bayaran digital secara nyata, penambahbaikan ciri keselamatan ini akan memberi jaminan bahawa GrabPay adalah kaedah pembayaran lebih selamat.
Ciri keselamatan 2FA ini yang sedia ada dalam GrabPay untuk melindungi pengguna telefon pintar daripada sebarang niat jahat penggodam.
Semua pengguna GrabPay harus mencipta enam-digit Grab PIN masing-masing. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk mengaktifkan pengesahan tambahan biometrik seperti cap jari atau pengenalan wajah (Face ID) bagi memantapkan kerahsiaan maklumat berpandukan setting pada alat mudah alih masing-masing.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.
#GrabPay #keselamatan #dalam talina #pembayaran
;