Grab Malaysia teguh perkasa rakyat menuju masa depan mampan

Amzar Alif
Januari 10, 2025 20:40 MYT
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo komited memperkasakan setiap lapisan masyarakat tidak kira latar belakang melalui inisiatif seperti #GrabBersamaMalaysia. - Gambar Grab Malaysia
KUALA LUMPUR: Grab Malaysia terus komited memperkasakan masyarakat inklusif dengan mendukung golongan kelainan upaya (OKU), wanita, dan komuniti tempatan, sejajar dengan wawasan ASEAN yang lebih mampan dan inklusif.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, berkata usaha itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif seperti #GrabBersamaMalaysia, yang memberi peluang kepada semua rakyat untuk menjana pendapatan tanpa mengira latar belakang atau kemampuan.
“Kami ingin membina masa depan di mana setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau kemampuan, mempunyai peluang untuk berjaya,” katanya.
Memperkasakan Golongan OKU
Statistik menunjukkan lebih 10,000 OKU berjaya memasuki pasaran pekerjaan antara 2022 hingga pertengahan 2023. Namun, kadar pekerjaan bagi golongan ini masih rendah berbanding jumlah populasi OKU berdaftar yang melebihi 674,000 orang.
Grab Malaysia menyokong OKU melalui sesi latihan khusus yang membolehkan mereka menggunakan teknologi dan platform Grab untuk menjana pendapatan. Selain itu, inisiatif pelepasan kewangan seperti pengurangan kadar komisen bagi rakan pemandu OKU turut diperkenalkan bagi meringankan beban kewangan mereka.
“Kami percaya sokongan ini dapat membantu lebih ramai OKU mencapai kebebasan kewangan dan mencipta kisah kejayaan mereka sendiri,” jelas Foo.
Foo turut memaklumkan bahawa lebih 3,100 OKU di seluruh Asia Tenggara kini mendapat manfaat daripada peluang pendapatan Grab, termasuk lebih 400 OKU di Johor sejak syarikat itu memulakan operasi di negeri tersebut pada 2013.
Menangani Jurang Jantina dalam Ekonomi Gig
Wanita merupakan kumpulan yang kurang terwakili dalam ekonomi gig di Malaysia, di mana lelaki merangkumi 62 peratus daripada 1.12 juta pekerja sektor itu. Perbezaan ini lebih ketara dalam sektor e-hailing dan penghantaran, di mana lelaki membentuk 68 peratus tenaga kerja.
Melalui program #SisBoleh, Grab Malaysia berusaha mengurangkan jurang ini dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu Keselamatan, Latihan dan Pengambilan, serta Komuniti.
Foo berkata sejak program itu dilancarkan pada 2021, penyertaan wanita sebagai rakan pemandu dan penghantaran meningkat sebanyak 156 peratus.
“Kami ingin memastikan wanita mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk menyertai ekonomi gig dengan selamat dan berkesan,” tambahnya.
Antara ciri keselamatan yang diperkenalkan termasuk “Share My Ride” dan “AudioProtect,” yang direka untuk memberi ketenangan kepada pekerja wanita semasa bertugas.
Sokongan terhadap Industri Pelancongan
Sektor pelancongan, yang menyumbang RM275.8 bilion atau 15.1 peratus kepada KDNK negara pada 2023, turut mendapat perhatian Grab. Data menunjukkan 65 peratus pelancong antarabangsa menggunakan aplikasi Grab semasa melawat Malaysia, mencerminkan peranan penting Grab dalam meningkatkan pengalaman perjalanan mereka.
Bagi memudahkan pelancong antarabangsa, Grab memperkenalkan Grab Tourist Pack, sebuah pakej lengkap yang menawarkan penjimatan segera untuk perkhidmatan perjalanan dan makanan.
Melalui pakej ini, pelancong boleh menikmati tambang diskaun untuk perjalanan Grab serta baucar diskaun bagi makanan dan minuman melalui GrabFood dan GrabMart.
Jelasnya, Grab Tourist Pack direka untuk memberikan kemudahan tanpa kompromi, terutama kepada pelancong yang mengutamakan perkhidmatan pantas dan mesra pengguna.
“Setiap perjalanan yang dilakukan melalui platform kami bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pelancong, tetapi juga membantu meningkatkan pendapatan rakan pemandu serta rakan niaga tempatan,” ujarnya.
Inisiatif ini dilihat sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi pelancongan, terutama bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan 67% nilai dagangan kasar (Gross Merchandise Value, GMV) GrabFood dan GrabMart di Asia Tenggara disumbangkan oleh PMKS.
Malah di Terengganu, pendaftaran baharu PMKS dengan Grab mencatatkan peningkatan 20% setiap tahun, dengan lebih separuh daripada mereka mengekalkan penilaian lima bintang berdasarkan maklum balas pengguna.
Memacu Kemajuan ASEAN
Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mempunyai peluang untuk memanfaatkan inovasi dan kerjasama pelbagai pihak demi membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dan mampan.
“Cabaran dan peluang di hadapan terlalu besar untuk ditangani oleh satu syarikat sahaja. Sebab itu, kami komited untuk berkolaborasi dengan kerajaan, industri, dan komuniti tempatan bagi mencipta kesan positif yang berkekalan,” tegas Foo.
#Grab Malaysia #GrabBersamaMalaysia #SisBoleh #Grab Tourist Pack
;