Grab-GoTo, ini 6 implikasi apabila digabungkan

Nabilah Khaleeda
Februari 7, 2025 10:30 MYT
Grab dan GoTo kini dalam perbincangan untuk penggabungan yang boleh menjadi peristiwa besar dalam industri superapp ASEAN.
KUALA LUMPUR: Grab dan GoTo kini dalam perbincangan untuk penggabungan yang boleh menjadi peristiwa besar dalam industri superapp ASEAN.
Walaupun belum dimuktamadkan, langkah ini berpotensi membawa kesan besar kepada pasaran, pengguna, pekerja dan persaingan.
Berikut adalah enam perkara utama yang perlu diperhatikan.
Keenam-enam implikasi utama itu digariskan Penaung Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Bryan Ng Yih Miin dalam temu bual bersama program Niaga AWANI pada Jumaat.
1️⃣ Kawalan pasaran yang mungkin meningkat
Jika penggabungan ini menjadikan Grab-GoTo sebagai pemain dominan di Malaysia, mereka mengawal harga produk, perkhidmatan, dan kadar upah pemandu. Ini boleh mencetuskan kebimbangan tentang persaingan yang lemah dan monopoli pasaran.
2️⃣ Potensi manfaat kepada pengguna
Sebaliknya, penggabungan ini juga boleh membawa kepada ekonomi skala yang lebih besar.
Jika diuruskan dengan baik, ia mungkin menurunkan harga perkhidmatan dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik melalui ekosistem yang lebih mantap.
3️⃣ Rasionalisasi tenaga kerja dan kemungkinan pembuangan pekerja
Penggabungan syarikat sering kali membawa kepada penyusunan semula tenaga kerja.
Sekiranya terdapat peranan yang bertindih, syarikat mungkin akan melakukan rasionalisasi termasuk kemungkinan pembuangan pekerja bagi mengurangkan kos operasi.
4️⃣ Cabaran integrasi teknologi
Walaupun Grab dan GoTo adalah gergasi teknologi, menyelaraskan sistem dan operasi mereka tetap menjadi cabaran.
Namun, dengan kepakaran yang dimiliki, ini dijangka bukan satu isu besar dalam jangka panjang.
5️⃣ Perbezaan budaya korporat
Setiap syarikat mempunyai budaya kerja tersendiri, dan menyatukan dua entiti besar ini memerlukan usaha untuk memastikan kelancaran dalam mengharmonikan strategi pengurusan dan operasi harian.
6️⃣ Risiko halangan regulasi
Di Malaysia, penggabungan ini akan dinilai berdasarkan Akta Persaingan 2010 dan oleh Malaysia Competition Commission (MyCC). Sekiranya didapati melanggar undang-undang persaingan, penggabungan ini mungkin menghadapi sekatan atau perlu membuat perubahan tertentu.
Tambah Bryan, penggabungan dua syarikat ini menjanjikan banyak potensi perubahan dalam industri e-hailing, sama ada ia membawa manfaat besar atau risiko tinggi bergantung kepada bagaimana syarikat ini mengurus integrasi dan kawal selia pasaran.
#ASEAN #grab #Malaysia #GoTo
;