Google perkenal Collections di Play Store, aplikasi dikumpul dalam satu widget
Amanz
Julai 25, 2024 16:08 MYT
Julai 25, 2024 16:08 MYT
TAHUN lepas, Google menguji Cube pada Play Store sebagai satu sistem cadangan kandungan dan widget baharu.
Selepas berbulan menantikan apakah Cube sebenarnya, malam tadi ia dilancarkan secara rasmi sebagai Collections.
Collections di dalam Play Store kelihatan seakan talam aplikasi pada skrin utama iOS 18. Aplikasi dikumpulkan mengikut kategori di dalam folder masing-masing.
Lebih menarik ia adalah aplikasi yang telah terpasang dalam peranti pengguna. Apa yang Collections lakukan adalah belajar corak penggunaan pengguna dan mencadangkan perkara seterusnya pengguna boleh lakukan dengan satu klik.
Misalnya, anda ingin beli kemeja di atas talian dengan bandingkan harga di Lazada dan Shopee – Collections sudah tahu kemeja apa, saiz apa dan aplikasi mana lebih murah untuk anda beli dengan tekan satu klik ia akan bawa anda ke troli.
Contoh lain adalah aplikasi penstriman; Collections tahu anda ada aplikasi Netflix, Disney+ dan Prime Video misalnya dan sedang mencari filem baharu untuk disewa mungkin Deadpool & Wolverine – jika ada yang boleh distrim Collections akan cadang tekan untuk tonton di aplikasi mana atau tekan untuk beli/sewa di aplikasi mana.
Collections turut hadir dengan widget gergasi untuk akses pantas kepada pengguna terus di skrin utama peranti.
Buat masa ini, Google Play Collections terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat sahaja dengan Google menyatakan mereka ada merancang untuk menawarkan ciri ini ke negara lain.
Sama-sama kita nantikan. -Amanz