Google nyahaktif integrasi produk Xiaomi susulan 'kesilapan visual CCTV'
Agensi
Januari 3, 2020 11:31 MYT
Januari 3, 2020 11:31 MYT
GOOGLE membuat keputusan menyahaktif integrasi produk keluaran syarikat Xiaomi, Mi Home ekoran aduan pengguna yang mendakwa menerima paparan visual daripada peranti pengguna lain.
Isu berkenaan mula dikesan pengguna yang memiliki kamera keselamatan pintar Xiaomi Mijia 1080p, salah satu model yang menyokong produk Google Home.
Isu itu turut dibincangkan seorang pengguna yang dikenali sebagai 'Dio-V' menerusi muat naik video di portal subreddit pada Rabu lepas.
Dalam perkongsian video berkenaan, dia menunjukkan paparan visual dari kamera Xiaomi yang bukan dari kamera miliknya.
Malah, ‘Dio-V’ turut mendakwa visual berkenaan mungkin datang daripada kamera milik pengguna lain.
Di ruangan komen, salah seorang pemilik kamera yang menghadapi isu yang sama mendakwa isu tersebut berlaku disebabkan dia membeli kamera tersebut secara dalam talian di portal AliExpress.
Walaupun puncanya belum diketahui, ia mencetuskan kebimbangan pengguna yang mendakwa perkara itu mencabuli hak privasi mereka.
Dalam satu kenyataan oleh Android Police, Google mendakwa pihaknya telah dimaklumkan tentang isu berkenaan dan sedang berusaha untuk memperbaikinya.
Langkah menyahaktif integrasi sistem berkenaan hanyalah sementara sehingga masalah itu berjaya diselesaikan.
Sehingga berita ini ditulis, pihak Xiaomi masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.