Google diarah buka Play Store kepada pihak ketiga selepas kalah kepada Epic Games
Amanz
Oktober 8, 2024 11:00 MYT
Oktober 8, 2024 11:00 MYT
KES saman Epic Games berakhir dengan hakim di California mengarahkan Google untuk membuka Play Store kepada pihak ketiga selama tiga tahun. Menerusi arahan ini Play Store perlu menawarkan aplikasi stor milik pesaing seperti Epic Games Store. Pada waktu yang sama stor pihak ketiga ini perlu diberikan akses kepada kesemua aplikasi yang wujud di Play Store.
Google dilarang daripada mengambil sebarang potongan daripada jualan yang dilakukan menerusi stor pihak ketiga ini. Di samping itu mereka tidak lagi boleh memberikan insentif supaya pembangun menawarkan aplikasi mereka secara eksklusif di Play Store atau menghalang pembangun menawarkan aplikasi mereka di stor milik pesaing.
Pelanggan pula harus dibenarkan melakukan pembayaran menerusi sistem ketiga dan bukan sekadar ekosistem Play Store. Mereka juga perlu diberikan maklumat mengenai cara pembayaran lain di luar ekosistem Google. Mahkamah memberikan hampir kesemua yang diminta oleh Epic Games. Google juga perlu menghentikan arahan Play Store perlu dipasang secara terbina pada semua peranti Android oleh pengeluar.
Keputusan pagi ini berbeza dengan keputusan kes saman Epic Games ke atas Apple tahun lalu dengan hakim berkata Apple bukanlah sebuah monopoli. Dalam kes ini, sembilan daripada 10 tuntutan Epic Games ditolak mahkamah.
Google segera memfailkan rayuan kepada mahkamah mengenai keputusan ini dan berkata mereka bukan monopoli kerana bersaing dengan Apple. Punca keputusan kes saman Epic Games ke atas Apple dan Google memberikan keputusan berbeza masih lagi tidak diketahui sedangkan garis panduan yang dikenakan Apple ke atas pembangun adalah jauh lebih ketat.
Sumber: Reuters