Google Cloud umum bawa wilayah awan pertama ke Malaysia

Rahimah Abdullah
Ogos 12, 2022 16:10 MYT
Google Cloud mengumumkan akan membawa wilayah awan pertamanya ke Malaysia bagi memenuhi permintaan perkhidmatan itu yang semakin meningkat dalam negara dan seluruh dunia. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Google Cloud sistem perkomputeran awan yang ditawarkan oleh Google LLC mengumumkan akan membawa wilayah awan pertamanya ke Malaysia bagi memenuhi permintaan perkhidmatan itu yang semakin meningkat dalam negara dan seluruh dunia.
Ia menawarkan kemampuan bergred perusahaan yang diperlukan organisasi tempatan bagi mempercepatkan transformasi digital dan mencipta kelebihan daya saing baharu, mengukuhkan komitmen Google Cloud menyokong rancangan pembangunan ekonomi negara yang seterusnya.
Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, wilayah awan baharu ini merupakan contoh utama pelaburan tempatan Google yang sedang berkembang dan sebahagian daripada komitmen untuk mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif dan memajukan Malaysia.
“Selama 11 tahun, pasukan kami telah bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, perniagaan, komuniti dan para pendidik di Malaysia untuk menyediakan alatan, latihan dan pendidikan yang penting untuk kejayaan dalam masa hadapan digital.
"Apabila dilancarkan, wilayah awan ini akan memperkukuhkan kebolehan unik kami untuk merapatkan ekosistem perusahaan dan pengguna melalui Search, YouTube, Maps, Play, Cloud dan lain-lain, jadi kami boleh bekerjasama dengan organisasi tempatan dari semua saiz dengan lebih mendalam untuk membantu mereka melayani pasaran domestik dengan lebih baik dan mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke seluruh dunia," katanya semasa taklimat media dengan Google Cloud di sini pada Jumaat.
Melalui program seperti Mahir Digital Bersama Google, Google membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menubuhkan dan mengembangkan perniagaan atas talian, dan melalui Go Digital ASEAN, Google membantu belia melalui kemahiran literasi digital.
"Pada bulan lepas, Google melancarkan program baharu bernama Gemilang untuk menyediakan peluang latihan digital kepada semua rakyat Malaysia.
"Pada masa ini, syarikat ini menyumbangkan RM7.1 bilion (AS$1.7 bilion) dalam manfaat tahunan kepada perniagaan dan secara tidak langsung menyokong 31,000 pekerjaan di Malaysia," katanya lagi.
Selain itu, syarikat terkemuka seperti AFFIN Bank, Axiata Group, Capital A (AirAsia Aviation dan airasia Super App), Hong Leong Bank, JB Cocoa, KPJ Healthcare, Malaysia Airlines, Mass Rapid Transit Corporation, dan Maxis telah memilih Google Cloud sebagai rakan kongsi inovasi mereka yang dipercayai untuk memacu bidang berkaitan.
#Google Cloud #Google Malaysia #Marc Woo #wilayah awan
;