GM umum kereta pandu sendiri tanpa stereng, pedal pada 2019

Agensi
Januari 13, 2018 16:39 MYT
General Motors (GM) bakal mengeluarkan model kereta pandu sendiri tanpa stereng kereta dan pedal pada 2019.
SYARIKAT pembuatan kereta General Motors (GM) bakal mengeluarkan model kereta pandu sendiri tanpa stereng kereta dan pedal pada 2019.
Dalam satu pengumuman di International Consumer Electronics Show (CES) 2018, GM berkata model kereta itu adalah generasi keempat dari rangkaian kereta elektrik, pandu sendiri Chevy Bolts yang kini sedang diuji atas jalan raya San Fransisco dan Phoenix.
Pada masa sama, GM yang merupakan salah satu dari tiga syarikat automotif gergasi Amerika Syarikat, bakal memulakan pemasangan kereta jenis ini di kilangnya di Orion, Michigan, dan menawarkan khidmat ‘ride hailing’ di beberapa bandar menggunakan model tersebut.
Presiden GM Dan Ammann dalam sebuah temu bual bersama The Verge berkata, “Ini adalah saat yang amat dinantikan oleh kami dalam usaha untuk mencipta sejarah mengeluarkan kereta pandu sendiri dalam skala besar dan memulakan pembuatan kereta tanpa kawalan pemandu."
Menurut laporan The Verge, tindakan GM untuk mengeluarkan kereta pandu sendiri tanpa sebarang kawalan pemandu dalam jangka masa yang singkat bakal memberi tamparan kepada pesaingnya, baik yang baru dan lama.
Malah, pengumuman itu dianggap strategik kerana dibuat sebelum Detroit Auto Show, iaitu antara pameran automotif terpenting dan terbesar di dunia.
Malah salah satu saingan GM, iaitu Ford, pernah mengumumkan pelan membina kereta pandu sendiri tanpa stereng dan pedal pada 2021, sementara Waymo, sebuah unit pandu sendiri di bawah syarikat pemilik Google, Alphabet Inc, sedang dalam proses untuk melancarkan perkhidmatan ‘ride hailing’ pertamanya di Phoenix menggunakan minivan pandu sendiri yang masih menawarkan sistem panduan tradisional.
GM turut berkongsi bentuk dan fungsi dalaman model kereta futuristik itu yang dianggap seperti bentangan ujian inkblot Rorschach jika ia merupakan sebuah kenderaan.
Di tempat pemandu yang mana stereng kereta selalunya dipasang, GM meletakkan papan pemuka kosong selain ruang kosong yang luas di bahagian bawah.
Sumber: GeneralMotors
Syarikat automotif itu telah menghantar permohonan kepada Pihak Berkuasa Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat untuk membenarkan mereka menggunakan kereta yang tidak semestinya memenuhi semua piawaian keselamatan ditetapkan.
Ammann berkata mereka tidak mencari pengecualian dari 2,500 ciri keselamatan yang perlu dipenuhi dalam piawaian tersebut sebaliknya, mereka mahu mencuba sesuatu yang baru untuk kegunaan di masa akan datang.
“Kami cuma mahu mencadangkan cirri-ciri keselamatan yang baru atau tambahan dalam hal ini. Kereta yang tidak mempunyai stereng panduan tidak memerlukan beg udara. Namun, kita akan memasang beg udara di bahagian sisi setiap tempat duduk penumpang sebagai sebuah langkah keselamatan. Ini mempunyai kesan yang sama seperti beg udara yang diletakkan dalam stereng panduan,” katanya.
Pengumuman GM ini turut diselingkan dengan penerbitan laporan keselamatannya sebanyak 33 muka surat kepada Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat.
Sejak 2016 dan 2017, kerajaan AS menyarankan supaya syarikat teknologi dan pengeluar kereta yang sedang mengusahakan kereta pandu sendiri untuk menghantar senarai ciri-ciri keselamatan kepada kerajaan supaya ia boleh mendapat maklumat terkini dalam perkembangan teknologi di dalam bidang ini.
GM adalah syarikat kedua yang menghantar laporan ini selepas Waymo.
#Alphabet Inc #Arizona #AS #Ford #GM #Google #Kereta pandu sendiri #TheVerge #Waymo
;