Glomac sasar jualan hartanah mencecah RM580 juta

Dagang News
Oktober 28, 2021 08:00 MYT
Glomac optimis untuk meraih jualan belum dibil yang dianggarkan RM580 juta dalam tempoh dua tahun akan datang. -Gambar fail/Dagang News
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah tempatan, Glomac Bhd (Glomac) optimis untuk meraih jualan belum dibil yang dianggarkan RM580 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri FD Iskandar Mansor berkata, Glomac juga akan memberi tumpuan kepada projek yang sedang berjalan dan pelancaran projek baharunya dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM282 juta bagi tahun kewangan 2022.
Katanya, meskipun berdepan dengan cabaran pasaran tidak menentu akibat pandemik, pemaju hartanah itu akan terus memberi tumpuan kepada projek mampu milik dan kekal berwaspada dengan kesan berlarutan COVID-19.
"Prospek jangka panjang syarikat kekal kukuh dan bagi suku ketiga 2022, Glomac akan melancarkan lima projek kediaman membabitkan rumah teres dan bertingkat.
"Projek yang akan dilancarkan (Lakeside Residences, Saujana KLIA, Saujana Perdana, Saujana Utama 5 dan Saujana Jaya, Johor) itu membabitkan kediaman bertanah dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik yang terus mendapat sambutan kukuh daripada pembeli," katanya pada sidang media maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-37 Glomac hari ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar Mansor
FD Iskandar berkata, Glomac juga berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan aktiviti pembangunannya apabila sentimen pasaran bertambah baik, berbekalkan kekuatan lembaran imbangannya.
"Glomac bersedia untuk menggiatkan aktiviti pembangunan, sejajar kekuatan dan perancangan rapi pelbagai projek pembangunan di Lembah Klang dengan GDV yang dianggarkan berjumlah RM8 bilion," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga percaya dengan pembukaan semula banyak sektor ekonomi akan memberi keyakinan kepada pembeli yang sebelum ini lebih berhati-hati ekoran COVID-19.
Katanya, aktiviti pembinaan juga sudah mula aktif dan galeri jualan pula sudah boleh dibuka semula untuk kunjungan pelanggan.
"Untuk terus memacu jualan, kumpulan mengadaptasi norma digital baharu di mana ia menyediakan sambungan jalur lebar dan menggabungkan reka bentuk kerja dari rumah dalam pelancaran baharu, termasuk membangunkan platform pemasaran digital yang kukuh untuk melengkapkan pendekatan pemasaran konvensional," katanya.
*Berita asal di DagangNews.com
#GLOMAC #pemaju hartanah #FD Iskandar Mansor #GDV
;