GLIC, GLC berperanan realisasikan pembangunan Malaysia Madani - PM

Bernama
Februari 2, 2023 23:55 MYT
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berperanan dalam menyumbang dan merealisasikan pembangunan Malaysia Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi catatan di Facebook malam ini, beliau berkata perkara itu diberi penekanan ketika mengadakan perbincangan dengan GLIC berhubung Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan, petang tadi.
"Selaras dengan elemen mampan dalam pendekatan Madani, perbincangan merangkumi komitmen GLIC dan GLC untuk meningkatkan kemampanan industri sawit serta memacu tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Menurut Perdana Menteri, Belanjawan 2023 yang akan dibentang hujung bulan ini memerlukan semua pihak berganding bahu dalam memacu pembaharuan ke arah Malaysia Madani.
Beliau berkata GLIC dan GLC mempunyai peranan khusus menyokong agenda pembangunan negara, terutamanya dalam memangkin pelaburan bagi sektor pertumbuhan baharu, menyokong pembangunan modal insan terutamanya penggajian siswazah baharu dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
"Saya juga mengarahkan GLIC dan GLC, sebagai majikan dan perniagaan yang bertanggungjawab, untuk memastikan penyediaan pekerjaan yang bermaruah, pembangunan vendor dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) tempatan serta menyumbang kepada program kemasyarakatan, terutamanya program pembasmian kemiskinan.
"Ini adalah selaras dengan elemen ihsan dalam pendekatan Madani," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini.
-- BERNAMA
#Malaysia Madani #GLC #GLIC #Anwar Ibrahim
;