'GLC harus diketuai ahli korporat, bukan ahli politik'

Astro Awani
Disember 9, 2020 06:21 MYT
Tricia berkata tokoh korporat harus dipilih memimpin GLC susulan pengalaman luas mereka dalam bidang komersial. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelantikan ahli politik dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mampu mewujudkan konflik kepentingan sekali gus menganggu urusan komersial entiti tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh berkata, ini kerana, setiap keputusan yang dilakukan mereka cenderung dipengaruhi oleh kepentingan politik mereka.
"Pelantikan ahli politik dalam mana-mana GLC adalah bermasalah. Pada asasnya, ahli politik yang terlibatkan dalam Lembaga Pengarah GLC mungkin berdepan konflik kepentingan dalam keputusan mereka dan berpotensi dipengaruhi isu politik.
"Malah tiada jaminan keputusan mereka buat sebagai ahli lembaga atau pengerusi dilakukan demi kebaikan GLC tersebut berbanding parti politik mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, sekalipun tiada kesalahan yang dilakukan ahli politik dalam GLC, namun lantikan mereka itu mengundang persepsi negatif rakyat terhadap GLC berkenaan yang dibangunkan menggunakan wang rakyat.
Tricia mengulas perkembangan yang berlaku dalam MARACorp yang menyaksikan tokoh korporat Datuk Badlisyah Abdul Ghani digantung tugas atas dakwaan salah laku meskipun baru tiga bulan dilantik mengetuai entiti itu.
Tricia juga berkata tokoh korporat harus dipilih memimpin GLC susulan pengalaman luas mereka dalam bidang komersial.
"Lebih baik dapatkan tokoh korporat mengetuai GLC kerana mereka mempunyai pengalaman lebih sesuai.
"Pengalaman mereka ini akan membawa perubahan dalam GLC itu dan mereka mampu melakukan transformasi struktur serta elak pembaziran duit rakyat," tambahnya.
Tricia berkata kerajaan juga harus mewujudkan satu badan khas serta bebas yang memantau serta mengaudit semua GLC di Malaysia termasuk dalam aspek pengurusan kewangan dan pencapaian objektif mereka.
"Malaysia tidak ada apa-apa badan yang memantau mana-mana GLC. Kalau kita ada badan seperti ini yang memantau GLC, ia akan memberikan urus tadbir yang baik.
"Kita harus ikuti standard GLC antarabangsa yang digariskan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang tidak mengalakan lantikan politik dalam GLC.
"OECD tidak kata GLC tidak boleh wujud, tetapi objektif dan tujuan itu harus ada mandat jelas.
"Di Thailand mereka ada badan khusus yang memantau tadbir urus GLC mereka," katanya.
Melalui cara itu, Tricia berkata ukuran lebih tepat dapat diperolehi termasuk sama ada ia mencapai matlamat sosial dan kewangan.
Malah pemantauan itu juga akan membolehkan kerajaan mengenal pasti GLC mana yang gagal memenuhi matlamat dan boleh mengambil tindakan lanjut secara lebih telus.
#GLC #ekonomi #politik #MARACorp #GLIC #ideas #Tricia Yeoh #Audit GLC #ahli politik #ketelusan #konflik kepentingan #kepentingan politik #keputusan #dipengaruhi #persepsi negatif #Badlisyah Abdul Ghani #digantung tugas #tokoh korporat #badan khas #pengurusan kewangan
;