GHL Systems dinyahsenarai 6 Ogos selepas 21 tahun tersenarai di Bursa Malaysia

Dagang News
Ogos 2, 2024 11:43 MYT
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, GHL berkata, mereka telah menerima surat daripada Bursa Securities bertarikh 1 Ogos 2024. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Pembekal perkhidmatan pembayaran GHL Systems Bhd akan dinyahsenarai minggu depan selepas 21 tahun sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, berikutan kejayaan pengambilalihan oleh NTT Data Japan Corp (NTTD Japan).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, GHL berkata, mereka telah menerima surat daripada Bursa Securities bertarikh 1 Ogos 2024.
Menurut GHL, surat itu menyatakan keseluruhan modal saham terbitannya akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities berkuat kuasa dari 9 pagi pada Selasa, 6 Ogos 2024.
Melalui surat tersebut, keputusan Bursa Securities tersebut merujuk kepada perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Pada Mei 2024, NTTD Jepun bercadang mengambil alih syarikat itu selepas membeli 58.73% kepentingannya pada harga RM724.08 juta atau RM1.08 sesaham.
Pegangan tersebut dibeli daripada Actis Stark (Mauritius) Ltd, APIS Growth 14 Ltd, Loh Wee Hian dan Tobikiri Capital Ltd.
Dengan jumlah 1.14 bilion saham diterbitkan, firma Jepun itu perlu melabur sebanyak RM508.74 juta untuk membeli GHL sepenuhnya.
Penasihat bebas Affin Hwang Investment Bank mengesyorkan pemegang saham GHL untuk menerima tawaran NTTD Jepun, menyifatkan ia sebagai adil dan munasabah.
Sementara itu, dagangan saham GHL digantung sejak Rabu, selepas NTTD Jepun membeli 98.8% sahamnya.
GHL pertama kali disenaraikan di Mesdaq (kini dikenali sebagai Pasaran ACE) pada 2003, sebelum dipindahkan ke pasaran utama Bursa pada 2007.
Kaunter itu didagangkan untuk kali terakhirnya pada RM1.08, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM1.23 bilion. -DagangNews.com
#Bursa Malaysia #GHL Systems #Pembekal perkhidmatan pembayaran #NTT Data Japan Corp