GES 2014: Malaysia kongsi pengalaman, model ekonomi
Asyila Kamaludin
September 7, 2014 22:00 MYT
September 7, 2014 22:00 MYT
Simposium Ekonomi Global (GES) 2014 yang memasuki hari kedua memulakan perbincangan berhubung langkah penstrukturan ekonomi, mentransformasikan masyarakat.
Antara ahli panel yang menyertai perbincangan dalam sesi pembukaan hari kedua termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar.
Manakala di kalangan speaker global yang turut menyertai sesi perbincangan pagi ini adalah pemenang anugerah Nobel Laureate, Josepth Stiglitz serta Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global Amerika Syarikat, Irene Natividad.
Ketika mengulas langkah penstrukturan ekonomi yang dilaksanakan Malaysia, Abdul Wahid menegaskan tumpuan diberikan ke arah mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini selain meningkatkan sistem pendidikan.
Menurut beliau, kadar kemiskinan bagi 2013 mencatatkan penurunan mendadak kepada 1.7 peratus berbanding 49.3 peratus untuk tahun sebelumnya.
“Sementara itu kadar purata pendapatan bulanan bagi isi rumah meningkat 20 kali ganda.
“Pada tahun 1970 purata kadar pendapatan bulanan hanya AS$86, perubahan ketara dapat disaksikan pada 2012 iaitu sebanyak AS$1,609,” katanya pada sesi awal perbincangan hari kedua GES 2014 di sini, pada Ahad.
GES 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 September lalu menyaksikan Malaysia tuan rumah pertama di kalangan negara di rantau Asia.
Simposium ekonomi antarabangsa ini dianjurkan bersama antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Ekonomi Global (GEA).