Geran SIM: RM40 juta dijangka disalurkan kepada lebih 31,000 rakyat Malaysia

Dagang News
Oktober 5, 2021 08:24 MYT
Geran SIM merupakan langkah oleh kerajaan untuk membina semula mata pencarian komuniti menerusi perusahaan sosial.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak RM40 juta nilai anggaran keseluruhan bakal disalurkan kepada 31,500 rakyat Malaysia menerusi pelbagai inisiatif sosial oleh 63 penerima Geran Padanan Impak Sosial (SIM).
Kesemua 63 perusahaan sosial tersebut menerima sokongan pembiayaan berjumlah RM10 juta menerusi inisiatif yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Amiruddin Abdul Shukor berkata, pihaknya teruja untuk menyokong kesemua perusahaan sosial tersebut dalam menggandakan bantuan kewangan mereka menerusi geran padanan berkenaan.

“Ini menunjukkan terdapat kesedaran, penghargaan dan sokongan yang kian meningkat untuk inovasi sosial di Malaysia - yang merupakan indikator yang wujud dalam masyarakat progresif - di mana kita mendorong pertumbuhan penyelesaian yang mampan dan berskala untuk meningkatkan kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Geran SIM merupakan langkah oleh kerajaan untuk membina semula mata pencarian komuniti menerusi perusahaan sosial dalam lima bidang impak termasuk perlindungan persekitaran, keselamatan makanan, kesihatan dan kesejahteraan sosial, mata pencarian komuniti serta pemeliharaan warisan.
Geran itu disalurkan menerusi perusahaan sosial kepada penerima manfaat yang akan menyediakan mereka dengan kemahiran tambahan untuk meningkatkan prospek pekerjaan, pendapatan dan mata pencarian mereka secara keseluruhannya.
Difahamkan, lebih satu pertiga daripada pembiayaan geran tersebut telah disalurkan kepada inisiatif mata pencarian komuniti, diikuti oleh 26% daripada pembiayaan yang diluluskan dikhususkan untuk kesihatan dan kesejahteraan sosial.
“Menerusi Geran SIM, kami berharap dapat memupuk kitaran kebaikan, membolehkan beberapa amalan terbaik dipertahankan, diterapkan semula, diperluas, dan diperkembangkan ke seluruh negara pada tahun-tahun mendatang,” kata Amiruddin lanjut.
Perusahaan sosial yang disokong kebanyakannya menyediakan program, intervensi atau penyelesaian berkaitan pendidikan, makanan dan minuman serta pertanian, dengan sekurang-kurangnya 30% inisiatif yang dipilih dijalankan di seluruh negara atau dalam talian.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.
#Geran SIM #PENJANA #Amiruddin Abdul Shukor #rakyat
;