Gerakan koperasi boleh bantu atasi masalah kemiskinan - Ewon

Bernama
April 15, 2023 16:35 MYT
Ewon (kanan) melihat barangan keperluan pada Majlis Perasmian Coopmart Koperasi LS 2 Selangor Berhad dan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan Negeri Selangor 2023 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yakin gerakan koperasi berupaya memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan di negara ini.
Ewon berkata ini kerana gerakan koperasi seperti itu selain menawarkan harga barangan yang lebih rendah serta melatih ahlinya berkecimpung dalam bidang perniagaan, ia juga memberi pulangan ekonomi dalam bentuk dividen.
"Saya sangat yakin bahawa gerakan koperasi merupakan satu daripada banyak pendekatan yang boleh membantu menoktahkan kemiskinan kerana selain daripada ahlinya dapat menikmati harga barangan yang lebih rendah, pada masa sama mereka boleh belajar untuk berniaga.
"Seterusnya, mereka boleh menikmati dividen misalnya daripada keuntungan yang dijana oleh syarikat koperasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan COOPMart Koperasi Lembah Subang 2 (LS2) Selangor Berhad di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata COOPMart milik Koperasi LS2 Selangor Berhad yang ditubuhkan dengan sokongan kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), merupakan inisiatif kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya kementerian melalui SKM telah memperuntukkan RM360,000 kepada LS2 Selangor Berhad bagi membiayai sebahagian kos pembangunan COOPMart berkenaan.
Justeru, Ewon meminta penghuni PPR LS2 agar beramai-ramai menyertai COOPMart, seterusnya menjadikan koperasi itu sebagai sebahagian daripada federasi peruncitan dan pemborongan koperasi di negara ini.
Sempena pelancaran COOPMart itu, turun diadakan program Jualan Rahmah dan Madani yang menawarkan diskaun harga barangan hingga 30 peratus daripada harga asal untuk tempoh satu jam.
-- BERNAMA
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia #Ewon Benedick #basmi kemiskinan #COOPMart
;