Gempa Osaka: MAS benarkan penumpang tangguhkan penerbangan
Bernama
Jun 19, 2018 21:43 MYT
Jun 19, 2018 21:43 MYT
Susulan kejadian gempa bumi di Osaka, Jepun, Malaysia Airlines (MAS) membenarkan penumpang yang menempah penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kansai mulai hari ini hingga 30 Jun ini untuk menangguhkan perjalanan mereka.
"Para penumpang berlepas dari 19 hingga 30 Jun 2018 akan boleh menangguhkan perjalanan mereka sebelum 15 Julai 2018, tertakluk kepada kekosongan tempat.
"Malaysia Airlines juga akan memantau keadaan dari masa ke semasa dan akan mengikut arahan pihak berkuasa keselamatan melakukan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai. Pada masa ini penerbangan ke dan dari Kansai beroperasi seperti yang dijadualkan, " menurut MAS dalam kenyataan di sini, hari ini.
Untuk sebarang maklumat lanjut, penumpang boleh menghubungi pusat panggilan Malaysia Airlines di 1-300-88-3000 (Malaysia) atau + 603-7843 3000 (dari luar Malaysia).
Menurut laporan media, gempa bumi 6.1 magnitud melanda wilayah Osaka di barat Jepun pada pagi Isnin, telah menyebabkan empat kematian dan mencederakan beratus yang lain.
Lebih 370 orang cedera akibat gegaran yang kuat dan 334 rumah rosak akibat gempa itu, kata kerajaan negara itu semalam. - Bernama
#cedera
#gempa bumi
#Jepun
#keselamatan
#Kuala Lumpur
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai
#Malaysia Airlines
#osaka