GEM Education sumbang RM100 juta untuk ASEM bangunkan ekosistem semikonduktor

Israr Khalid
Oktober 18, 2024 18:05 MYT
ASEM turut memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LoI) dengan 19 rakan universiti, mengukuhkan lagi kepemimpinan Malaysia dalam inovasi semikonduktor.
KUALA LUMPUR: Penjenamaan semula AI Nusantara kepada Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) menjadi sorotan utama hari kedua Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024.
Seiring pengumuman tersebut, GEM Education merasmikan komitmen mereka memperuntukkan RM100 juta kepada ASEM untuk membangunkan bakat bertaraf dunia dan menyediakan pendidikan berkaitan industri, dalam mempersiap Malaysia menuju masa depan digital didorong semikonduktor.
Pelaburan strategik itu dijangka dapat mempertingkat lagi kedudukan Malaysia dengan ketara dalam pasaran semikonduktor global dan mempercepat pembangunan bakat dan penyelidikan tercanggih.
Di samping itu, ASEM turut memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LoI) dengan 19 rakan universiti, mengukuhkan lagi kepemimpinan Malaysia dalam inovasi semikonduktor.
Perjanjian usahasama ini menumpukan kolaborasi dalam pembangunan bakat, pertukaran penyelidikan, serta projek bersama, memupuk hubungan yang lebih utuh antara akademia dengan industri.
Selain itu, acara utama hari kedua SDEC 2024 turut mengiktiraf graduasi 30 orang pensyarah yang dengan jayanya melengkapkan program ‘Train-the-Trainer’ (TTT).
Program yang dilaksana bersama oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), The Hive Southeast Asia, dan Taiwan AI Academy itu telah mempertingkat kemahiran para tenaga pengajar dalam pendidikan semikonduktor, melengkapkan mereka dengan peralatan untuk memupuk generasi profesional teknologi yang seterusnya.
Turut diraikan pada Khamis adalah kejayaan 450 orang bakat yang menamatkan latihan khusus di bawah ASEM yang merangkumi bidang seperti Rekaan Aplikasi LLM, dan Pengesanan Objek, sedia untuk mendepani masa depan sebagai pemimpin teknologi dalam ekonomi digital yang sentiasa berkembang.
Sementara itu, siri sesi panel berlangsung sepanjang hari meneroka potensi transformatif merentas industri.
Sesi "Battle of the AI Minds: A Global Talent Competition," yang dikendalikan oleh Kamesh Raghavendra dari The Hive dan Dr. Ling-Jyh Chen dari Taiwan AI Academy, membincangkan trend terkini dalam AI, meneroka teknik dan pendekatan canggih yang digunakan oleh pakar industri.
Ia juga meneliti potensi transformasi AI dalam membentuk masa depan sektor-sektor utama seperti penjagaan kesihatan, kewangan, dan tenaga, sambil menekankan bagaimana AI boleh merevolusikan industri-industri ini dan mendorong inovasi di peringkat global.
Dalam perbincangan utama lain, panel AI Janaan dalam Awan menampilkan para pakar dari AWS, SNS Network, dan Exabytes, yang berkongsi pandangan dalam pengunaan pesat teknologi AI melalui infrastruktur awan.
Dikendalikan Denning Tan dari GenAI Fund, panel menyorot peranan AI dalam mempercepat inovasi merentas penjagaan kesihatan, mobiliti pintar dan sektor utama lain.
Pameran SDEC 2024 menggamit kehadiran dengan paparan inovasi tercanggih, menampilkan pelbagai jenis teknologi yang dikuasakan AI.
Dengan lebih 200 pempamer dari seluruh dunia, pameran ini menyediakan pentas untuk para pemimpin industri, syarikat pemula, dan pelabur untuk membina rangkaian, membentuk kerjasama, dan meneroka kemajuan teknologi terkini.
Sebagai salah satu sorotan utama konvensyen, Pameran SDEC 2024 menarik perhatian besar daripada pemimpin perniagaan dan peminat teknologi yang teruja untuk mengalami masa depan AI, robotik dan transformasi digital.
Hari kedua SDEC 2024, sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) anjuran Sidec, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib.
#SDEC 2024 #SIDEC #ASEM #GEM Education
;