Garis panduan Fintech untuk institusi kewangan hampir siap - BNM

Bernama
September 21, 2016 14:43 MYT
Muhammad menyifatkan Fintech yang terbukti mentransformasi landskap sektor kewangan, turut menjadi pengubah kepada aspek keterangkuman kewangan. - Gambar fail
Garis panduan teknologi kewangan (Fintech) Bank Negara Malaysia (BNM) kini hampir siap untuk dimuktamadkan, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.
"Kertas konsep kami hampir siap untuk dimuktamadkan selepas menerima maklum balas industri. Kami akan menelitinya dan ia akan dijadikan garis panduan untuk institusi kewangan.
"Kami amat berpuas hati kerana mampu menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap merasmikan Simposium Global Keterangkuman Inovatif Kewangan di sini, hari ini.
Muhammad sebelum ini dilaporkan berkata, rangka kerja pengawalseliaan bagi Fintech berkenaan dijangka dapat dikeluarkan pada suku akhir tahun ini.
Fintech adalah antara perkhidmatan disediakan syarikat internet yang melibatkan sistem kewangan dan menjadikan pembiayaan bagi rantaian bekalan itu jauh lebih cekap.
Mengulas selanjutnya, Muhammad menyifatkan Fintech yang terbukti mentransformasi landskap sektor kewangan, turut menjadi pengubah kepada aspek keterangkuman kewangan.
"Saya rasa jika kita menggunakan Fintech, kos penyampaian keterangkuman kewangan kepada rakyat akan menjadi lebih murah, berkesan serta cekap," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata rangka kerja bagi penilaian kecekapan keterangkuman itu akan menjadi insentif berpengaruh bagi memanfaatkan teknologi menerusi kaedah paling optimum.
Katanya, ia sepatutnya mampu mengurangkan kos penyampaian perkhidmatan keterangkuman kewangan seiring masa, sekaligus mempertingkatkan kemampuan sektor kerajaan mahupun swasta.
Sementara itu, Pengarah Kewangan dan Amalan Pasaran Global Bank Dunia, Sebastian Molineus, hari ini menggesa pihak bank dan institusi kewangan terkemuka untuk memanfaatkan teknologi secara aktif bagi meningkatkan tawaran pasaran dan memantapkan kecekapan.
Menurutnya, peningkatan penggunaan Fintech yang berpotensi menyampaikan infrastruktur kewangan dengan lebih berdaya tahan, turut membuka persaingan bentuk baharu untuk institusi perbankan dan kewangan sedia ada.
Molineus berkata pada masa sama, Fintech juga akan terus mencabar institusi kewangan tradisional selain membawa risiko dan cabaran bagi kemajuan industri itu.
"Fintech boleh menjejaskan pasaran kewangan secara positif, membawa manfaat hasil persaingan, kecekapan dan pengurangan kos. Ia juga boleh menjadi sumber peningkatan risiko kestabilan, integriti dan amalan pasaran," katanya. - BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #fintech #muhammad ibrahim #Simposium Global Keterangkuman Inovatif Kewangan
;