Gamuda tingkat komitmen biasiswa kepada RM30 juta, perkasa 123 pelajar

Bernama
Ogos 23, 2024 13:50 MYT
Sejak dimulakan pada 1996, Biasiswa Gamuda telah membantu lebih 763 pelajar, dengan jumlah biasiswa melebihi RM114 juta.
KUALA LUMPUR: Gamuda Berhad menerusi Yayasan Gamuda, meningkatkan komitmen biasiswanya kepada RM30 juta, daripada RM20 juta pada 2023.
Program tahun ini akan memberi manfaat kepada 123 pelajar iaitu kenaikan ketara daripada 79 pelajar tahun lepas, dengan lebih 70 peratus penerima daripada kumpulan B40.
"Pendidikan masih merupakan alat yang penting untuk pemerkasaan dan mobiliti sosial. Yayasan Gamuda terus membantu para pelajar yang layak dengan meningkatkan peluang mereka dan telah secara signifikan meningkatkan komitmen untuk program tahun ini," kata Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Datuk Lin Yun Ling dalam kenyataan kepada Bernama.
"Program tersebut membantu pelajar untuk berjaya dalam bidang kemahirannya supaya mereka boleh memajukan diri dalam apa jua persekitaran, mencungkil potensi sebenar mereka dan mampu memberikan impak positif," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Yayasan Gamuda Ts. Lim Hui Yan berkata program tahun ini menyaksikan permohonan terbanyak setakat ini iaitu 3,552 dan biasiswa akan dianugerahkan kepada kumpulan tiga peratus terbaik.
"Antara penerima, 17 pelajar cemerlang telah diberi peluang untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti antarabangsa terkenal seperti Imperial College London, University of Melbourne, Peking University, Nanyang Technological University dan University of New South Wales," kata Lim.
Pelajar berkenaan sedang mengikuti kursus berbeza dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk pembinaan, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat (IT) dan sains alam sekitar.
Selain itu, biasiswa turut diberikan untuk pengajian dalam pengukuran kuantiti, kewangan dan perakaunan, pemasaran dan komunikasi, seni bina dan perancangan bandar, dan psikologi.
Gamuda mengakui bahawa bakat berpotensi besar syarikat itu datang daripada kumpulan pelajar dari pelbagai disiplin. Selepas menamatkan pengajian, mereka mempunyai prospek kerjaya dalam pelbagai bidang perniagaan Gamuda yang merentasi rantau berbeza.
Program tahun ini turut menjadi permulaan kepada usaha progresif dalam menyokong komuniti Orang Asli Malaysia. Sebanyak 21 biasiswa telah diberikan kepada kumpulan itu melibatkan Orang Asli dari Semenanjung dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.
Sejak dimulakan pada 1996, Biasiswa Gamuda telah membantu lebih 763 pelajar, dengan jumlah biasiswa melebihi RM114 juta.
Pelaburan itu menjana ramai bakat berpotensi tinggi untuk syarikat tersebut serta negara. Sejajar pencapaian Gamuda, program biasiswa berkenaan turut berkembang sekali gus membuktikan komitmen Gamuda untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berkebolehan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
-- BERNAMA
#Gamuda #biasiswa #B40 #pendidikan