Gamuda raih kontrak RM1.97 bilion projek bekalan air Sg Rasau

Bernama
Julai 2, 2022 10:30 MYT
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menganugerahkan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) bernilai RM1.97 bilion kepada Gamuda Bhd.
KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menganugerahkan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) bernilai RM1.97 bilion kepada Gamuda Bhd.
Menurut kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu, ia telah menerima surat setuju terima bagi projek yang dicadangkan, sekali gus menjadikannya sebagai kontraktor utama untuk membina loji rawatan air dengan kapasiti 700 juta liter sehari (MLD) berhampiran Tanjung Dua Belas serta struktur takungan berkapasiti 1,400 MLD untuk mengeluarkan air mentah tambahan dari bekas kolam perlombongan di Taman Putra Permai, Puchong.
"Sebaik selesai, projek ini akan membantu menyelesaikan isu kekurangan margin bekalan rizab air rendah yang dihadapi oleh penduduk Klang dan Selangor secara umumnya," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.
Gamuda berkata projek tersebut yang turut melibatkan pembinaan dua jejantas melintasi Lebuhraya Elite dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan akan dimulakan pada 15 Julai ini dan dijangka selesai menjelang 30 Jun, 2025.
Katanya projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2023.
Menurutnya risiko utama adalah risiko mata wang yang mungkin menjejaskan kos bahan dan peralatan yang diimport, di samping harga bahan pembinaan yang turun naik dan situasi pasaran buruh yang terhad pada masa ini.
-- BERNAMA
#Gamuda #Skim Bekalan Air Sungai Rasau #Pengurusan Air Selangor #loji rawatan air
;