Gamuda, Litrak dapat 'lampu hijau' lupuskan aset lebuh raya kepada ALR

Dagang News
Ogos 9, 2022 09:00 MYT
Litrak memegang 50 peratus kepentingan dalam konsesi lebuh raya SPRINT manakala Gamuda 30 peratus dan KPS 20 peratus. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Pemegang saham Gamuda Bhd dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) telah memberi kebenaran untuk melupuskan aset lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).
Menurut Gamuda, penjualan itu mendapat kelulusan lebih 99% dalam mesyuarat agung luar biasa Litrak pada 27 Julai dan kumpulan itu pada Jumaat, 5 Ogos lalu.
"Perjanjian jual beli saham telah berjaya dilaksanakan dengan ALR, dengan semua syarat di bawah surat tawaran bersyarat dipenuhi," katanya dalam kenyataan seperti dilapor The Edge semalam.
Gamuda, Litrak dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) sedang melupuskan 4 syarikat pemegang konsesi lebuh raya Lembah Klang kepada ALR dengan agregat RM4.477 bilion.
Syarikat itu ialah Kesas Holdings Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd (SPRINT), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd dan Projek Smart Holdings Sdn Bhd (SMART).
Kesas dimiliki 70% oleh Gamuda manakala baki 30% lagi dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). SMART adalah usaha sama 50:50 antara MMC Corp Bhd dan Gamuda.
Sementara itu, bagi SPRINT, Litrak memegang 50% kepentingan dalam konsesi lebuh raya manakala Gamuda (30%) dan KPS (20%).
Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) dimiliki sepenuhnya oleh Litrak, yang mana 42.8% dikawal oleh Gamuda. Oleh itu, kepentingan efektif Gamuda dalam SPRINT ialah 51.4%.
ALR, sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan sebelum ini mengumumkan akan mengambil alih konsesi empat lebuh raya.
Pengambilalihan itu akan merangkumi semua infrastruktur dan aset yang sedia ada termasuklah aset yang terpenting iaitu tenaga kerja. - DagangNews.com
#Gamuda #LITRAK #ALR #lupus aset lebuh raya
;