Galah Tuis memang anugerah HBNCRIIA 2020
Dagang News
November 21, 2021 10:30 MYT
November 21, 2021 10:30 MYT
PRODUK Inovasi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) iaitu Galah Tuis yang direka oleh Kumpulan AKAL dari UiTM Perlis telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih dalam 10 produk terbaik dari 2,500 penyertaan (kategori pertanian) dalam Edisi Kedua Honey Bee Network Creativity and Inclusive Innovation Awards (HBNCRIIA) 2020.
Program penganugerahan tahunan anjuran Honey Bee Network (HBN) dan Gujarat Grassroots Innovations Augmentation Network (GIAN) yang telah disertai oleh 87 negara di dunia memberi pengiktirafan antarabangsa kepada inovasi terangkum daripada atau untuk golongan akar umbi dalam memenuhi keperluan sosial serta mengatasi kesusahan dan cabaran hidup.
Inovator YIM yang menghasilkan produk Galah Tuis tersebut diketuai oleh Azhar Ismail dan ahli pasukan, Asri Ab Rahim, Rosnizam Mansor, Hamidan Ibrahim dan Mazura Mohd Mohayudin dari Perlis.
Produk inovasi ini merupakan satu daripada enam pemenang yang menerima Geran Pembangunan Inovasi daripada program mengarusperdana Inovasi Akar Umbi (MaGRIs) YIM sebagai agensi pelaksana pada 2017 dan mendapat geran pembangunan bernilai RM30,000.
Kumpulan tersebut telah mengambil inisiatif kreatif dan inovasi dalam penambahbaikan dengan mencipta Galah Tuis V2 yang lebih efisien untuk membungkus Mangga Harumanis di dahan pokok tinggi di samping dapat digunakan untuk menuai hasil buah.
Dengan pengalaman 20 tahun lebih dalam bidang perladangan telah memberikan inspirasi kepada Azhar bersama rakan-rakan sekerjanya di Unit Pengurusan Ladang, UiTM Perlis untuk menghasilkan sebuah produk yang dikenali sebagai Galah Tuis.
Galah Tuis memudahkan proses membalut buah di tempat yang tinggi dan sukar untuk dicapai menggunakan tangga.
Penggunaannya mampu mengurangkan peratusan buah rosak dan seterusnya meningkatkan produktiviti hasil kutipan.
KEGUNAAN PRODUK
- Dapat membungkus buah-buahan dengan cepat dan mudah.
- Dapat membungkus buah-buahan pada dahan pokok dengan ketinggian sehingga 14 kaki.
- Boleh digunakan untuk pelbagai jenis buah seperti mangga, jambu batu, belimbing dan durian belanda.
- Boleh digunakan untuk menuai buah-buahan dengan memasang aksesori tambahan.
BERDASARKAN LAWATAN PENANDARASAN
1. Ladang Harumanis Paya Kelubi, Perlis pada 24/6/2017 (85% buah dibungkus dengan baik)
2. Ladang Harumanis Jabatan Pertanian Bukit Bintang, Bintong, Perlis pada 25/6/2017
(88% buah dibungkus dengan baik)
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh yang telah menghadiri HBNCRIIA Biennial Award Ceremony, Galah Tuis mengatasi masalah pembungkusan buah harumanis di dahan pokok tinggi.
“Membungkus Mangga Harumanis di dahan pokok tinggi dengan menggunakan peralatan Galah Tuis telah mendapat maklum balas dari Yayasan Inovasi Malaysia tentang kaedah pemasangan sarung pembungkus yang kurang efisien dan penggunaan getah pengikat pembungkus yang tidak tahan lama,” katanya.
Sharmila berkata, Galah Tuis yang sedia ada telah dibuat penambahbaikan seperti yang disarankan oleh YIM dan Pengurusan UiTM Cawangan Perlis dengan peratus sasaran penyelesaian 98% permasalahan.
“Ini kerana terdapat masalah pembungkus tertanggal, pengikat pembungkus rosak, pembungkus terbuka dan ikatan pembungkus tidak ketat. Perkara ini mengakibatkan buah rosak kerana serangga perosak dapat memasuki kawasan buah yang dibungkus.
“Dengan menggunakan Galah Tuis, jumlah peratusan buah dibungkus di dahan tinggi dengan baik adalah 72% kerana dapat mengatasi beberapa masalah seperti pembungkus longgar, pembungkus jatuh sebelum buah dapat dipetik, pembungkus terbuka dan ikatan pembungkus rosak,” kata beliau lagi.
*Artikel asal di DagangNews.com
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !