Gabenor baharu belum diumum, Zeti yakin Bank Negara kekal kukuh

Luqman Hariz, Pritha Manivannan
Februari 17, 2016 12:37 MYT
ZETI: Pengumuman pasti akan berlaku apabila tiba masanya.
Hanya berbaki kira-kira dua bulan sebelum kontraknya tamat April ini, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz masih enggan mendedahkan maklumat lanjut berkenaan penggantinya.
Walau bagaimanapun beliau berkata, pengumuman tersebut bakal dilaksanakan.
“Anda akan dimaklumkan apabila tiba masanya, kerana ia sesuatu yang pasti akan berlaku.
“Ada proses (pemilihan Gabenor baru) yang perlu diikuti, jadi anda semua perlu bersabar buat masa sekarang,” katanya ketika melancarkan Platform Akaun Bersepadu (IAP), sebuah platform pelaburan perbankan Islam baru di Bangunan Sasana Kijang di sini hari ini.
Beliau mengulangi bahawa proses pemilihan gabenor baru mengambil tempoh sedemikian lama kerana ia dilakukan dengan teliti dan mendalam.
Ini bagi memastikan pengganti beliau mempunyai kelayakan yang diperlukan di samping memenuhi semua kriteria yang diperlukan.
Beliau juga menambah walau siapapun yang dipilih menggantikannya menerajui bank pusat, rakyat tidak perlu gusar kerana Bank Negara kekal kukuh sebagai sebuah institusi kewangan.
“Sebagai sebuah institusi, bank pusat mempunyai kekukuhan dan daya tahan yang baik,” tambah Zeti.
Mengulas mengenai aspek kebebasan bank pusat ekoran pelantikan gabenor baru, Zeti menzahirkan keyakinan beliau bahawa Bank Negara akan kekal sebagai entiti bebas dan berintegriti tinggi.
“Kebebasan kami adalah kebebasan secara organisasi secara keseluruhannya.
“Saya menerajui bank pusat sepanjang kepimpinan lima Menteri Kewangan dan tiga Perdana Menteri, saya telah menikmati kebebasan ini sepanjang tempoh tersebut.
“Saya jangka ini akan berterusan walaupun selepas saya meninggalkan bank pusat,” kata beliau.
#Bank Negara kukuh #Gabenor Bank Negara #pegganti Gabenor #Zeti Akhtar Aziz
;