Funding Societies peroleh pelaburan daripada Cool Japan Fund

Najib Aroff
Disember 19, 2024 11:45 MYT
Pelaburan ini akan disalurkan untuk mengukuhkan lagi perniagaan teras Funding Societies dalam pembiayaan PKS. - Foto Facebook/Funding Societies
PLATFORM pembiayaan digital bersepadu untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, Funding Societies umum pelaburan ekuiti sebanyak RM112 juta daripada Cool Japan Fund, dana kekayaan berdaulat Jepun.
Pelaburan daripada CJF ini merupakan pelaburan pertama ke dalam syarikat Fintech di Asia Tenggara.
Pelaburan ini akan disalurkan untuk mengukuhkan lagi perniagaan teras Funding Societies dalam pembiayaan PKS yang merangkumi lima pasaran (Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, dan Vietnam); di samping terus mengembangkan perniagaan pembayarannya yang dimulakan pada 2022.
Menurut platform itu dalam satu kenyataan setelah sedekad menyediakan perkhidmatan peminjaman kepada PKS bagi memenuhi potensi perniagaan mereka, Funding Societies akan menumpukan kepada usaha membantu perniagaan menerima pembayaran dengan lebih cepat menerusi penyelesaian penerimaan (receivables) dan pembiayaan yang berinovatif.
Ia juga akan menggunakan teknologi dan AI untuk mendigitalkan dan mengautomasikan proses pengasalan (origination) pinjaman.
“Kami teruja untuk menyokong Funding Societies melalui pelaburan ini. Rekod prestasi mereka dalam menyokong PKS di Asia Tenggara menjadikan mereka yang terbaik untuk membantu syarikat Jepun mengatasi cabaran apabila memasuki pasaran luar negara baharu – terutamanya di rantau ini.
“Dengan peralihan minat daripada firma Jepun yang kian menuju ke Asia Tenggara, kami percaya kerjasama kami dengan Funding Societies melalui pelaburan ini akan meningkatkan permintaan luar negara bagi produk dan perkhidmatan Jepun, seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi Jepun serta PKS tempatan yang menjalankan perniagaan dengan syarikat Jepun.” Kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cool Japan Fund, Kenichi Kawasaki.
Menurut kenhyataan itu lagi setiap tahun, purata pelaburan langsung Jepun di rantau ASEAN dianggarkan berjumlah kira-kira RM83 bilion.
Menerusi pelaburan ini, Funding Societies juga akan memulakan kerjasama dengan CJF, memanfaatkan prestasi cemerlangnya dalam memenuhi keperluan PKS di Asia Tenggara, bagi menyediakan perkhidmatan kewangan untuk menyokong syarikat Jepun.
Kerjasama ini akan memupuk hubungan komersial yang positif untuk syarikat Jepun dan PKS tempatan di rantau ini.
“Kami berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Cool Japan untuk bekerjasama dan menyokong usaha pengembangan syarikat Jepun di luar negara. Banyak syarikat yang kami berikan perkhidmatan di Asia Tenggara terdiri daripada firma, pembekal dan/ atau pelanggan kepada syarikat Jepun. Kami berhasrat untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama keuntungan dan pertumbuhan ini dengan CJF.” Kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies | Modalku, Kelvin Teo berkata,
Hasil perkhidmatan kewangan digital di Asia Tenggara dijangka akan terus meningkat, dengan pinjaman digital menjadi pemacu terbesar, menyumbang kira-kira 65% daripada jumlah pendapatan.
Jumlah rekod pinjaman mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun lebih 20% kepada AS$71 bilion (RM317 bilion) dari 2023 hingga 2024 (meliputi kurang 1% daripada jurang akses kredit AS$2.5 trilion (RM11 trilion) di rantau ini), dan dijangka akan terus meningkat kepada kira-kira AS$200 bilion hingga AS$300 bilion (RM894 bilion hingga RM 1.34 trilion) menjelang 2030.
Setakat ini, Funding Societies telah mencatatkan lebih AS$4 bilion (RM18 bilion) dalam bentuk pembiayaan perniagaan yang memanfaatkan kira-kira 100,000 PKS, dan memproses nilai transaksi kasar (GTV) pembayaran tahunan lebih AS$1.4 bilion (RM6 bilion), sejak ia berkembang ke dalam perniagaan pembayaran pada 2022.
#Funding Societies #PKS #Cool Japan Fund #pelaburan ekuiti
;