Frost & Sullivan semak menaik unjuran jualan kenderaan Malaysia

Bernama
Julai 16, 2013 17:14 MYT
Frost & Sullivan telah menyemak semula secara menaik unjuran jumlah pengeluaran industri keseluruhan (TIV) bagi automotif tahun ini sebanyak 6.3 peratus kepada 638,000 unit, berbanding anggaran awal 600,000 unit.
Ini adalah berikutan sentimen positif pengguna, sambutan menggalakkan terhadap pelancaran model baharu dan kurang jangkaan mengenai sebarang pengurangan harga yang signifikan dari inisiatif dasar, demikian menurut syarikat perunding perniagaan di dalam satu kenyataan.
Rakan dan Ketua Amalan Automotif dan Pengangkutan Asia Pasifik Kavan Mukhtyar berkata unjuran yang disemak semula itu perlu berikutan kesan tidak menentu kerana Pilihan raya Umum ke-13, yang baru lepas tidaklah setinggi seperti yang dijangkakan.
Katanya jumlah jualan bagi Julai dijangka pulih, apabila para pengguna membeli kenderaan baharu bagi musim perayaan Hari Raya akan datang.
"Usaha Bank Negara baru-baru ini untuk mengurangkan hutang isi rumah tidak dijangka memberi kesan segera kerana kelulusan pinjaman automotif telah diperketat sejak tahun lepas," kata Mukhtyar di dalam kenyataan itu.
Mukhtyar berkata Ogos dijangka mencatatkan prestasi sederhana kerana jualan dijangka turun berikutan cuti perayaan panjang Hari Raya manakala jualan September dijangka lebih perlahan kerana lebih awal daripada pengumuman Belanjawan 2014, pada 25 Oktober ini.
Bagaimana pun, katanya jualan kenderaan dijangka meningkat pada suku keempat tahun ini berikutan pengumuman belanjawan dan permulaan musim perayaan akhir tahun, yang biasanya menyaksikan banyak tawaran promosi jualan oleh pengeluar kereta.
Pada separuh pertama tahun ini, Mukhtyar berkata jualan kenderaan dijangka berkembang hingga 4.0 peratus tahun ke tahun untuk mencecah 314,000 unit berbanding 301,269 unit pada 2012.
"Jualan kukuh itu juga disumbangkan oleh sentimen positif pengguna, kempen promosi yang agresif sebelum Tahun Baru Cina, serta insentif tambahan bagi pembelian kereta baharu," katanya.
Mukhtar berkata jualan juga disumbangkan oleh pelanggan yang melewatkan pendaftaran kenderaan bagi mendapatkan kenderaan masing-masing pada Tahun Baharu.
Bagi tempoh suku pertama, jumlah jualan keseluruhan meningkat 13.8 peratus tahun ke tahun kepada 157,664 unit berbanding 138,544 unit pada tempoh sukuan yang sama tahun lepas.
Bagaimana pun, TIV bagi sukuan kedua, turun 4.0 peratus tahun ke tahun berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi Pilihan raya Umum ke-13 kerana para pengguna mengambil pendekatan berhati-hati kerana jangkaan pengumuman mengenai Dasar Automotif Negara.
#automatif #Frost & Sullivan #TIV
;