Forum Ekonomi Dunia: Ukraine, iklim dan kenaikan harga makanan tumpuan utama
Astro Awani
Mei 23, 2022 08:30 MYT
Mei 23, 2022 08:30 MYT
DAVOS: Hab perhimpunan tahunan elit di pergunungan alps Switzerland kembali selepas lebih dua tahun wabak koronavirus melanda.
Komuniti perniagaan, pemimpin politik dan aktivis kumpulan pemikir akan berhimpun untuk mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam menangani pelbagai isu mendesak.
Antara isu yang dibincangkan dalam memperbaiki keadaan dunia adalah kenaikan harga makanan dan bahan api, perang Rusia di Ukraine, perubahan iklim, kemarau dan kekurangan makanan di Afrika.
Ini termasuk ketidaksamarataan antara golongan kaya dan miskin, rejim autokratik yang semakin mendapat tempat di beberapa negara serta wabak COVID-19 yang belum berakhir.
Perang di Ukraine akan menjadi tumpuan utama dengan Presiden Volodymyr Zelenskyy akan bercakap pada hari pembukaan melalui video dari Kiev, manakala Menteri Luar Negara itu dan delegasi besar pegawai tinggi Ukraine yang lain akan hadir.
Mereka akan disertai oleh pemimpin dunia seperti Canselor Jerman Olaf Scholz, utusan iklim Amerika Syarikat John Kerry, Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen.
Perang Presiden Vladimir Putin di Ukraine bermakna pemimpin perniagaan dan politik Rusia tidak dijemput ke perhimpunan tahun ini.
Menurut Presiden Forum WEF, Brende, ramai ketua pegawai eksekutif dan pemimpin perniagaan lain akan mencari cara bagaimana sektor swasta boleh menyokong Ukraine.
Bagaimanapun, ada juga kalangan pemimpin skeptikal Davos ialah tempat di mana penyelesaian boleh ditemui.
Walaupun Ukraine akan menarik perhatian pada hari pertama mesyuarat itu, isu iklim dan alam sekitar akan menjadi tema yang berulang dan berterusan memandangkan WEF melihat kepada cabaran masa depan sama seperti cabaran semasa.
Satu pertiga daripada 270 perbincangan panel sehingga akhir Khamis akan tertumpu pada perubahan iklim atau kesan langsungnya: pemanasan global, cuaca ekstrem, usaha untuk mencapai pelepasan "sifar karbon" dan meneroka sumber tenaga baharu yang lebih bersih daripada fosil akan menjadi agenda.