Forum Boao Bagi Asia 2013 dijangka tarik 2,000 peserta
Bernama
Januari 23, 2013 22:21 MYT
Januari 23, 2013 22:21 MYT
Persidangan tahunan ke-12 Forum Boao Bagi Asia (BFA) 2013 dijadualkan berlangsung mulai 6-8 April ini di Boao, Wilayah Hainan, China.
Persidangan tahunan bertemakan 'Asia Meninjau Perkembangan Untuk Semua: Penyusunan Semula, Tanggungjawab & Kerjasama' akan menampilkan 51 sesi perbincangan pelbagai bentuk dengan kandungan meliputi pembaharuan, transformasi dan inovasi laluan pembangunan untuk pelbagai rantau dan industri yang berbeza.
"Mengukuhkan rasa tanggungjawab untuk laluan pembangunan bersama dalam kalangan pembuat keputusan kerajaan, pengurus perniagaan dan individu, dan promosi aktif kerjasama ekonomi di semua peringkat dalam semua bidang juga penting," kata Zhou Wenzhong, Setiausaha Agung Forum Boao bagi Asia pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Zhou berkata kira-kira 2,000 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, pemimpin perniagaan, ahli akademik dan media akan menghadiri forum itu.
"Lebih 10 ketua negeri di China, pemimpin-pemimpin politik, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde, dan lapan pemimpin lain bagi organisasi antarabangsa akan dijemput," kata Zhou.
Beliau berkata perusahaan telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk menyertainya dengan sejumlah besar pemimpin perniagaan dari syarikat Fortune 500, syarikat utama di Asia, ekonomi baru muncul dan perusahaan kecil dan sederhana yang cemerlang akan dijemput untuk menghadiri forum itu.
"Di samping itu, penerima anugerah Nobel dalam bidang ekonomi, selebriti dari industri filem dan televisyen antarabangsa serta kalangan budaya dan agama juga akan terdapat dalam senarai tetamu yang dijemput," katanya.
Sementara itu, setelah dipilih menganggotai lembaga BFA pada 2010, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga menjadi antara tetamu untuk menghadiri forum itu.
Selain Abdullah, bekas tokoh-tokoh politik yang lain juga dijemput.
Mereka termasuk Perdana Menteri Perancis Jean-Pierre Raffarin, Menteri Kanan Emeritus Singapura Goh Chok Tong, Perdana Menteri Jepun Yasuo Fukuda, Perdana Menteri Australia Bob Hawke, Australia, Timbalan Perdana Menteri Australia Peter Costello, Presiden Filipina Fidel V Ramos.
BFA bermula pada Februari 2001 yang bertujuan untuk menyediakan platform untuk membincangkan isu-isu di Asia.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan pertukaran di kalangan negara-negara Asia dan antara negara-negara Asia dan negara-negara bukan Asia.