Ford tidak teruskan paten sistem 'tarik kereta' swapandu jika tidak bayar ansuran

Amanz
Januari 22, 2024 12:00 MYT
Ford sebelum ini mempatenkan teknologi kereta yang akan memandu diri sendiri ke syarikat itu sekiranya pemilik tidak membayar ansuran pinjaman bulanan.
DI MALAYSIA antara sebab utama seseorang boleh jatuh muflis ialah kegagalan membayar ansuran bulanan kereta.
Bank kemudian menggunakan perkhidmatan tarik kereta untuk mendapatkan semula kenderaan daripada penghutang yang culas.
Kerana ingin bergaya dengan kereta, harta tergadai semuanya.
Ford sebelum ini mempatenkan teknologi kereta yang akan memandu diri sendiri ke Ford sekiranya pemilik tidak membayar ansuran pinjaman bulanan.
Sistem swapandu yang sepatutnya membantu pemilik apabila diperlukan kini menjadi tukang tarik kereta automatik tanpa campur tangan manusia.
Paten ini walau bagaimanapun tidak diteruskan oleh Ford selepas tempoh pemilikannya luput pada penghujung tahun lalu.
Besar kemungkinan kerana selepas berita kewujudannya dilaporkan, ia menerima reaksi negatif daripada orang ramai yang merasakan ia adalah ciri yang membuatkan mereka tidak akan membeli kenderaan buatan Ford.
Bagi mengelakkan masalah, pada peringkat awal sistem hanya akan mengunci kenderaan pada hujung minggu sebagai amaran kepada pemilik untuk melakukan bayaran.
Kenderaan masih boleh digunakan pada hari bekerja supaya tidak mengganggu pemilik bekerja.
Ia turut mempunyai sistem kecemasan yang membenarkan ia digunakan ketika situasi kecemasan.
Kereta hanya akan memandu kembali ke pusat Ford berhampiran sebagai langkah akhir sekiranya pemilik masih enggan melakukan pembayaran.
SUMBER The Drive
#Ford #sistem tarik kereta #swapandu #ansuran bulanan
;