Foodpanda mungkin tidak dijual kepada pihak lain, dikatakan telah capai titik pulang modal
Amanz
Februari 15, 2024 10:50 MYT
Februari 15, 2024 10:50 MYT
DELIVERY Hero merupakan syarikat induk yang memiliki jenama Foodpanda di rantau Asia Tenggara ini.
Terbaru, melalui satu temu ramah bersama CNBC, CEO Delivery Hero Niklas Ostberg menyatakan pihaknya gembira untuk mengekalkan perniagaan Foodpanda di bawah mereka untuk “selamanya”.
Menurut beliau, Foodpanda kini telah mencapai titik pulang modal dan tidak lagi memberikan kesan terhadap keuntungan mereka.
Tambahnya, FoodPanda merupakan perniagaan di rantau ini yang berkembang dengan pantas – iaitu di Asia Tenggara yang menjadi fokus ramai pihak dan pelabur, sekali gus mempunyai lebih banyak potensi untuk berkembang.
Turut ditekankan, mereka tidak mempunyai sebab untuk menjualnya buat masa ini.
Sebelum ini, Delivery Hero menyatakan terbuka untuk menjual Foodpanda dan berbincang dengan beberapa pihak.
Namun, beberapa minggu lepas, dilaporkan bahawa perbincangan untuk menjualnya bersama Grab gagal mencapai kata putus.
Komen terbaru CEO ini hadir lanjutan daripada itu.
Mungkin kita akan melihat Delivery Hero mengekalkan jenama Foodpanda untuk sementara waktu ini di bawah mereka tanpa menjualnya kepada pihak lain.