Food Garden KLIA kembali dibuka dengan wajah baharu yang lebih segar
Dagang News
November 13, 2021 09:55 MYT
November 13, 2021 09:55 MYT
KUALA LUMPUR: The Food Garden yang terletak di aras 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali dibuka semula kepada orang ramai selepas menjalani proses penambah baikan dari segi kemudahan.
Perubahan itu disasarkan untuk menjadikan lapangan terbang itu sebagai destinasi sehenti untuk makanan, beli-belah dan gaya hidup sama seperti Food Garden di Lapangan terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) yang beroperasi sejak Mac 2019.
Food Garden yang terletak di KLIA menjanjikan pengalaman menarik dengan menyediakan seni visual menggunakan paparan elektronik yang menampilkan keindahan alam sekitar dalam bentuk 2D yang sesuai untuk dimuat naik di Instagram.
Food Garden yang dikendalikan Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd. atau dikenali sebagai Eraman, membolehkan pengunjung melihat sendiri ke dalam dapur dan konsep pemandangan taman tropika yang turut menyediakan perkhidmatan pembayaran menggunakan e-wallet selaras dengan norma baharu.
"Kami gembira untuk kembali membuka Food Garden KLIA yang menampilkan pelbagai jenis makanan termasuk tempatan dan makanan antarabangsa untuk menawarkan kepelbagaian jenama di sini.
"Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan pembayaran menggunakan e-wallet bagi menjami keselamatan orang ramai dengan mengurangkan hubungan fizikal dengan kakitangan di sini," kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Di Food Garden yang berkeluasan 2,000 kaki persegi dengan kapasiti 450 pengunjung menawarkan pelbagai jenis makanan termasuk Starbucks, O'Briens, PastaMania, I Love Yoo, Little Wok, yong tau foo, nasi campur dan nasi ayam.
Bagaimanapun, dengan situasi COVID-19 semasa, hanya 130 pengunjung dibenarkan pada satu-satu masa selain hanya individu yang lengkap divaksin akan dibenarkan masuk.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.