Fokus RMK-12 di landasan yang tepat - MyHSR Corp

Kenyataan Media
September 27, 2021 20:21 MYT
Strategi mengutamakan projek-projek infrastruktur yang penting untuk kesejahteraan rakyat sememangnya amat diperlukan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kerana kesan gandaan yang tinggi.
KUALA LUMPUR: Tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat pada hari ini.
Fokus kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuhkan pemangkin pertumbuhan termasuk meningkat dan menaiktaraf infrastruktur serta memperbaiki dan membina rangkaian rel dan jalan raya yang bersepadu untuk menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar menunjukkan perancangan kerajaan berada di landasan yang tepat.
Ini selanjutnya akan meningkatkan kesalinghubungan pertama dan akhir (first and last mile connectivity) dan merangsang daya saing industri bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan semasa, tetapi juga untuk menarik pelaburan baharu dan inovasi untuk mentransformasi kepada industri masa depan yang berpertumbuhan tinggi (highgrowth future industry).
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan
Strategi mengutamakan projek-projek infrastruktur yang penting untuk kesejahteraan rakyat sememangnya amat diperlukan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kerana kesan gandaan yang tinggi merangkumi rantaian bekalan yang besar.
Seperti yang terbukti di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China, United Kingdom, Jepun dan beberapa negara-negara jiran, projek-projek infrastruktur berteraskan sistem pengangkutan bukan sahaja mampu menjana ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan sederhana, malah pelbagai kesan pertumbuhan ekonomi di kawasan persekitaran.
Projek-projek infrastruktur berteknologi tinggi seperti rel juga dapat menyumbang kepada matlamat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (green-house gas) demi memelihara kelestarian alam sekitar kita seperti yang diaspirasikan semua.
Tambahan lagi, kami di MyHSR Corp sangat optimis jika perancangan ini dilaksanakan dengan baik, jitu, dan dipantau dengan ketat, peningkatan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam akan mampu membantu Malaysia membina ekosistem pelaburan yang lebih baik dan berdaya saing serta menyumbang ke arah mencapai pembangunan ekonomi yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ini akan menjana lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik dalam jangka masa lima tahun akan datang. MyHSR Corp menyokong penuh RMKe-12 ini dan akan turut menyumbang untuk merealisasikan matlamat pelan ini dan memastikan kejayaan pelan ini dalam semangat satu Keluarga Malaysia.
Dato’ Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal,
Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp)
#RMKe-12 #MyHSR #ismail sabri yaakob #Infrastruktur
;