FMM gesa tambah baik dasar perdagangan

Bernama
Januari 28, 2023 08:40 MYT
Tan Sri Soh Thian Lai berkata ASEAN amat penting kepada rantaian bekalan serantau sejak Plaza Accord dan Malaysia, sering menjadi pencetus kepada ASEAN yang dinamik. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa agar dasar perdagangan dirombak untuk memulihkan kedudukan Malaysia untuk Asean pada masa hadapan.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil dengan pasaran domestik yang kecil, tumpuan pembangunan Malaysia, terutamanya, adalah pada pasaran global dengan tumpuan khusus kepada ASEAN.
Beliau berkata ASEAN amat penting kepada rantaian bekalan serantau sejak Plaza Accord dan Malaysia, sering menjadi pencetus kepada ASEAN yang dinamik.
"Malaysia mempunyai salah satu populasi pekerja termuda dan berpendidikan tinggi di rantau ini, sejak sekian lama mengukuhkan dirinya sebagai salah satu ekonomi paling bersepadu di dunia dengan jumlah perdagangan per kapita tertinggi di ASEAN selain Singapura.
"Apatah lagi persekitaran makroekonomi dan kawal selia yang stabil, ia tidak pernah ketinggalan dalam meletakkan Malaysia sebagai graviti kepada masa depan Asean," katanya.
Beliau berkata FMM berpendapat Malaysia masih boleh menawarkan syarikat baharu kemasukan dan batu loncatan ke dalam pasaran ASEAN.
"Malaysia masih mempunyai banyak kapasiti dan potensi untuk ditawarkan kepada pelabur asing. Bukan sahaja infrastruktur kita baik, persekitaran politik kita stabil dan sistem perbankan kita kukuh.
"Malaysia juga mempunyai semua sumber yang diperlukan seperti pembiayaan, tenaga kerja, keselamatan, rangka kerja pengawalseliaan mesra perniagaan dan lokasi strategik yang kurang terdedah kepada bencana alam," katanya.
Beliau berkata walaupun Malaysia tidak pernah ketandusan idea dan perancangan pembangunan, masalah yang sering berlaku pada peringkat pelaksanaan.
"Masalah penting ini perlu ditangani," katanya.
-- BERNAMA
#FMM #ASEAN #dasar perdagangan #Soh Thian Lai
;