Fitch turunkan penarafan Petronas kepada 'A-', prospek stabil
Bernama
Julai 27, 2016 21:04 MYT
Julai 27, 2016 21:04 MYT
Fitch Ratings menurunkan Penarafan Mungkir Penerbit Mata Wang Tempatan dan Asing Jangka Panjang (IDRs) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada "A-" daripada "A", dengan prospek stabil.
Ia juga mengesahkan IDR Mata Wang-Asing Jangka Pendek Petronas pada 'F1'.
Pada masa yang sama, Fitch juga menurunkan penarafan tidak bercagar senior mata wang asing Petronas dan penarafan hutang yang diterbitkan oleh Petronas Capital Ltd dan dijamin oleh Petronas kepada "A-" daripada "A", kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Petronas terus mengekalkan profil kredit kendiri yang kukuh, dinilai oleh Fitch pada "AA-", kata Fitch Ratings.
Ia berkata langkah penarafan itu adalah susulan penurunan IDR Mata Wang-Tempatan-Jangka Panjang (LTLC IDR) Malaysia kepada "A-" daripada "A", sejajar dengan garis panduan dikemas kini yang terkandung dalam kriteria penarafan kerajaan disemak semula Fitch yang bertarikh 18 Julai, 2016.
Fitch memutuskan profil kredit Malaysia tidak lagi menyokong takuk LTLC IDR di atas IDR Mata Wang-Asing Jangka Panjang.
Ini mencerminkan pandangan Fitch bahawa dua faktor utama itu yang disebut dalam kriteria yang menyokong takuk menaik LTLC IDR tidak lagi ada bagi Malaysia.
Kedua-dua faktor utama itu adalah asas kewangan awam kukuh berbanding dengan asas kewangan luaran dan layanan keutamaan kreditor mata wang tempatan sebelumnya berbanding kreditor mata wang asing.
Fitch berkata IDRs Petronas dikekang oleh IDRs Malaysia.
Sebab-sebab menyokong penurunan LTLC IDR Malaysia juga melemahkan kes bagi penafaran obligasi mata wang asing Petronas mengatasi penarafan mata wang asing berdaulat kerana Petronas 100 peratus milik Malaysia dan kerajaan boleh mempengaruhi dasar operasi dan kewangannya.
Antara lainnya, Fitch menjangka Petronas membayar dividen rendah sebanyak RM16 bilion pada 2016, turun daripada RM26 bilion pada 2015, dan RM29 bilion pada 2014.
"Dengan pengurangan dividen ini, Fitch menjangka Petronas menampung majoriti perbelanjaan modalnya daripada penjanaan tunai dalaman, walaupun penjanaan tunai operasi dijangka lemah berikutan harga komoditi rendah," kata agensi penarafan itu.
Bagaimanapun, Fitch berpandangan, Petronas akan terus memberi sumbangan besar kepada hasil kerajaan.
Mengenai perkembangan lain, agensi penarafan itu berkata ia menjangka program perbelanjaan modal Petronas kekal besar, termasuk perbelanjaan modal bagi projek Pembangunan Bersepadu Penapis dan Petrokimia hiliran di Malaysia dan kemudahan pencecairan dan kemudahan berkaitan dengan usaha samanya di Kanada, projek Gas Asli Cecair Pacific NorthWest.
Andaian utama yang digunakan oleh Fitch ialah harga minyak berdasarkan harga Brent Fitch pada AS$33/setong pada 2016, AS$45 pada 2017 dan AS$55 pada 2018, pembayaran dividen RM16 bilion pada 2016 dan perbelanjaan modal berada pada purata RM50 bilion bagi 2016 hingga 2018.