Firma penyelidikan positif terhadap langkah MAHB jual kepentingan GHIAL
Bernama
Oktober 26, 2023 05:45 MYT
Oktober 26, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kalangan firma penyelidikan dan bank pelaburan mengekalkan pendirian positif terhadap cadangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menjual kepentingannya dalam GMR Hyderabad International Airport Ltd (GHIAL) dengan hasil jualan AS$100 juta (AS$1=RM4.78) dapat dimanfaatkan bagi membayar hutang.
CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata MAHB perlu membayar balik masing-masing RM600 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada 27 Dis, 2024 dan bon sukuk RM1 bilion pada 15 Dis, 2024.
Selain itu, IMTN berjumlah RM500 juta pula dijangka matang pada 25 April, 2025.
"Langkah penjualan oleh MAHB itu adalah bagi pengewangan aset memandangkan ia hanya menerima dividen AS$6.41 juta dividen daripada GHIAL sejak melabur di lapangan terbang itu pada 2008 hingga 2009," katanya dalam nota pada Khamis.
Firma itu juga menjangkakan MAHB akan membawa balik hasil penjualan kepentingan berkenaan ke Malaysia untuk digunakan bagi perbelanjaan modal, tujuan korporat am serta menampung perbelanjaan penjualan terbabit.
Sementara itu, Meanwhile, Maybank Investment Bank menjangkakan hasil daripada penjualan itu dapat membantu MAHB mengurangkan hutang bersihnya daripada 47 peratus setakat akhir suku kedua 2023 kepada 41 peratus.
Penjualan kepentingan itu juga dijangka membolehkan pulangan sebanyak AS$23.7 juta.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan, saranan 'beli' dan harga sasaran diskaun aliran tunai sebanyak RM7.96 sementara penjualan ini selesai," katanya.
Setakat 10.35 pagi Khamis, saham MAHB turun lapan sen atau 1.08 peratus kepada RM7.29 dengan 404,600 saham saling berpindah tangan.
MAHB dan anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Private Ltd, dalam proses menjual keseluruhan 11 peratus kepentingan dalam GHIAL, syarikat induk yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India kepada GMR Group pada harga AS$100 juta.
-- BERNAMA