Firma penyelidikan kekalkan saranan neutral bagi sektor hartanah
Bernama
September 3, 2015 12:21 MYT
September 3, 2015 12:21 MYT
AffinHwang Capital mengekalkan saranan neutral bagi sektor hartanah dalam suasana persekitaran ekonomi mencabar dan standard kelulusan kredit ketat ketika ini.
Bagaimanapun, dengan jualan belum masuk akaun yang besar hasil bagi sektor tersebut dijangka kekal kukuh, kata firma penyelidikan itu.
"Kami percaya hasil pendapatan pemaju dijangka masih menggalakkan dalam separuh kedua tahun ini.
"Bagaimanapun, memandangkan persekitaran ekonomi mencabar sekarang, proses kelulusan kredit yang ketat serta lebih banyak gabungan produk mampu milik, kami percaya margin kekal tidak berada dalam tekanan," kata firma itu dalam satu nota.
Firma penyelidikan itu menjangkakan lebih banyak perbelanjaan bagi gimik pemasaran untuk menggalakkan jualan.
AffinHwang juga berkata pemaju akan terus menumpu melancarkan rumah mampu milik dan hartanah bertanah dalam kawasan perbandaran.
Mengenai prestasi saham hartanah di Bursa Malaysia pagi ini, MK Land naik 2.5 sen kepada 34 sen, ECO World dan Mah Sing meningkat dua sen setiap satu masing-masing kepada RM1.33 dan RM1.30, Sunway menokok 11 sen kepada RM3.49, UEM Sunrise menambah satu sen kepada 85 sen tetapi SP Setia dan UOA tidak berubah masing-masing kepada RM3.18 dan RM1.90.