Firma Malaysia antara tiga syarikat reka bentuk ibu negara baharu Indonesia
Bernama
Disember 26, 2019 06:47 MYT
Disember 26, 2019 06:47 MYT
Firma Malaysia, VERITAS Design Group (VERITAS) berjaya tersenarai antara tiga syarikat di kedudukan teratas pertandingan reka bentuk antarabangsa membabitkan ibu negara baharu Indonesia - Ibu Kota Negara di Kalimantan.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, kumpulan berpejabat di sini berkata usaha menerusi kerjasama dengan PT Mitra Adhi Reka Utama (Maru) itu adalah antara 292 syarikat asing dan antarabangsa yang bersaing dalam pertandingan tersebut.
"Kesemua tiga syarikat yang meraih kedudukan teratas ini akan menjalin kerjasama seterusnya bagi menyiapkan pelan induk ibu negara baharu di Kalimantan sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat," kata syarikat itu.
Senarai pemenang itu diumumkan selepas lima syarikat yang disenarai pendek membentangkan reka bentuk masing-masing kepada Presiden Joko Widodo pada 20 Disember lepas.
Laporan menyatakan reka bentuk milik firma URBAN+ memenangi hadiah sebanyak 2 bilion rupiah.
Sementara itu, VERITAS berkata konsep bagi ibu negara baharu itu bukan setakat sebuah pentadbiran kerajaan, tetapi demi kesejahteraan rakyat di masa depan - "bandar yang akan menjadi pemangkin transformasi ekonomi dan akan memastikan kehidupan berkualiti.
Ini tidak hanya untuk Kalimantan tetapi juga Indonesia selain membuka jalan bagi negara itu muncul antara peneraju kepimpinan rantau ini."
Presiden Kumpulan Rekaan VERITAS, David Mizan Hashim berkata syarikat itu berbangga kerana diberi penghormatan untuk turut sama dalam pelan induk sebuah ibu negara moden dan pelbagai budaya, sejajar dengan aspirasi rakyat Indonesia.
Ini, katanya, merupakan paparan konsep VERITAS untuk reka bentuk bandar itu yang dikenali 'Kota Seribu Galur.'
Cadangan pelan induk yang melalui perbincangan teliti selain tinjauan ke atas keperluan dan budaya rakyat Indonesia, diterajui oleh Ketua Projek VERITAS Michael Tan dengan sokongan Ketua Reka Bentuk VERITAS Design Group Lillian Tay serta Pengarah Perancangan Ng Yiek Seng selain kerjasama dengan Maru.
Bagi kemajuan masa depan, VERITAS berkata proses reka bentuk pelan induk Ibu Kota Negara itu perlu membabitkan semua pihak berkepentingan.
Penyertaan kumpulan berkepentingan awam, institut profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat tempatan juga penting sebagai menggantikan ketiadaan kelompok generasi rakyat masa depan.
"Visi kami untuk pelan induk Ibu Kota Negara ini adalah menjangkaui perancangan fizikal bandar baharu. Kami percaya pelan induk ini perlu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi yang kukuh dan memastikan kehidupan berkualiti untuk Kalimantan dan rakyat Indonesia," kata David.
VERITAS turut menjangkakan pasukan kerjasama pereka Indonesia dan antarabangsa, akan turut membabitkan amalan terbaik global dalam strategi perancangan dan pembangunan bandar bagi mengetengahkan model baharu bandar raya masa depan dunia.
VERITAS Design Group, yang ditubuhkan pada 1987, memiliki tiga pejabat di Malaysia termasuk sebuah ibu pejabat selain enam cawangan di luar negara.
Antara projek sentuhan syarikat itu termasuk stesen MRT Kuala Lumpur, Laman PKNS di ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Menara Etiqa, Menara Binjai, dan W Hotel Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#firma malaysia
#ibu kota negara
#ibu negara baharu indonesia
#Kalimantan
#veritas
#veritas design group