Firefly tambah penerbangan Subang-Johor

Bernama
Januari 18, 2013 21:11 MYT
Firefly akan meningkatkan penerbangan ke laluan Subang-Johor Bahru kepada 35 kali seminggu (5 kali sehari) berbanding 28 kali seminggu sekarang, bermula 4 Feb ini, dan seterusnya 38 kali seminggu mulai 18 Feb.
Tambahan kekerapan ini antara lain adalah berikutan peningkatan permintaan oleh penumpang menjelang cuti perayaan Tahun Baharu China ini.
"Dengan projek Iskandar Malaysia yang semakin rancak dan tarikan terbaharunya, Legoland dan Taman Tema Puteri Harbour, adalah tidak mengejutkan bahawa permintaan untuk perkhidmatan Firefly akan meningkat," kata ketua pegawai eksekutif Firefly, Ignatius Ong dalam satu kenyataan hari ini.
Ong berkata Johor adalah pasaran penting bagi pelan pertumbuhan Firefly selaras dengan pengembangan sasaran penumpangnya dari wilayah Selatan, Singapura, Batam, dan penumpang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Untuk meraikan penambahan kumpulan pesawat dan pertambahan kekerapan ini, Firefly menawarkan promosi satu hala, bermula RM 35 ke destinasi domestik dan serantaunya.
Tempahan bermula sekarang hingga 27 Jan, 2013, untuk penerbangan antara 21 Jan, 2013 dan 29 Mac, 2014.
Pelanggan dinasihatkan membuat tempahan awal untuk menikmati tawaran eksklusif dan terhad ini.
#Firefly #Ignatius Ong #Legoland #Subang-johor
;