Firefly sudah biasa dengan saingan
Astro Awani
Mac 14, 2013 16:07 MYT
Mac 14, 2013 16:07 MYT
Syarikat penerbangan komuniti, Firefly tidak melihat sebarang kesan negatif kepada operasi dan faktor muatan syarikat itu apabila Malindo Airways menyertai pasaran penerbangan akhir Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong memberitahu syarikat itu mempunyai kelebihan tersendiri antaranya menawarkan harga tambang yang kompetitif selain lokasi operasi yang berdekatan dengan pusat bandar.
Ignatius berkata Firefly yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sudah biasa berdepan persaingan sebelum ini terutama dengan AirAsia malah dengan syarikat induknya sendiri, Malaysia Airline (MAS).
Bagi Firefly yang penting ketika ini ialah memenuhi permintaan penumpang dengan tawaran pakej yang menarik.
Malindo Airways dijadual memulakan operasi pada 22 Mac, menggunakan model perniagaan Hibrid, dengan menawarkan penerbangan perkhidmatan penuh pada kadar tambang penerbangan kos rendah.
Di peringkat awal, Malindo Airways mengumumkan tambang promosi sehala daripada serendah RM38 ke Kuching dan RM68 ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ignatius memaklumkan Firefly bakal menjadikan Johor Bahru sebagai hab terbarunya selain Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan Pulau Pinang.
Ini selaras dengan jangkaan permintaan penerbangan dari Johor dalam beberapa tahun akan datang dipacu pembangunan Wilayah Iskandar.
Tahun ini, katanya Firefly tidak terlalu agresif untuk memperkenal laluan baru.
Sebaliknya akan memperkukuh beberapa laluan sedia ada, dan menambah kekerapan di laluan yang diperlukan.
Bermula 2013, Firelfy bakal menerima 20 pesawat baru model turbo prop siri ATR 300 dalam tempoh lapan tahun.
Sebuah pesawat dijangka tiba pada Jun ini sementara sebuah lagi pada akhir tahun ini.
Beliau juga berkata Firefly mengunjurkan pertumbuhan 10 hingga 15 peratus jumlah penumpang tahun ini berbanding 1.7 juta yang diurusnya pada 2012.
Firefly turut mensasarkan untuk mencapai 2 juta penumpang menjelang 2014.
Ignatius ditemui pada majlis program kerjaya industri penerbangan bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) Melaka di Subang.
Serentak dengan pembelian 20 pesawat baru oleh Firefly dalam tempoh lapan tahun akan datang syarikat turut bakal melatih tenaga kerja baru bagi jawatan juruterbang dan jurutera.
Ignatius berkata, Firefly sebelum ini menghentikan program latihan juruterbang dan memberi fokus kepada pertukaran juruterbang dari operasi Firefly jet kepada penerbangan komersial.
Tambah Ignatius, syarikat turut melantik juruterbang dari kalangan wanita.
Setakat ini 10 juruterbang Firefly adalah wanita dan jumlah itu dijangka bertambah selepas kemasukan pesawat baru miliknya.
Selain jawatan juruterbang Firefly turut membuka jawatan buat jurutera penyelenggaraan pesawat kepada wanita.
Sepanjang lima tahun beroperasi,,Firefly kini mempunyai 120 juruterbang dengan 12 pesawat.