Firefly mulakan semula operasi penerbangan dari hab Pulau Pinang 11 April ini

Bernama
Mac 3, 2022 07:33 MYT
Tiket penerbangan boleh didapati menerusi aplikasi Firefly, laman web, tempahan pejabat serta menerusi ejen pelancongan. - Facebook Firefly
KOTA KINABALU: Firefly akan memulakan semula operasi penerbangan dari hab Pulau Pinang ke Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu, dengan pelancaran penjualan tiket bermula 11 April ini kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Philip See.
Beliau berkata pelanggan boleh mendapatkan tambang serendah RM69 sehala dengan penerbangan pesawat Malaysia Airlines Boeing 737-800.
"Penerbangan ini bakal bermula dengan dua kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dan satu kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu.
"Kami juga akan meningkatkan sehingga tiga kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Johor Bahru dan dua kali penerbangan pergi balik dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu mulai 25 April depan," katanya kepada pemberita pada majlis Firefly Media Meet, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata pelanggan akan mendapat fleksibiliti dan keselesaan seperti pemilihan tempat duduk, perlindungan insurans, dan penyediaan makanan dalam penerbangan.
Katanya, sebagai sebahagian daripada Malaysia Aviation Group, rangkaian kukuh dan perkongsian kod bersama Malaysia Airlines dan MASwings akan menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar kepada pelanggan, sekali gus mempelbagaikan rangkaian Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, Thailand, Indonesia dan Singapura.
"Firefly juga bakal menjalin kerjasama dengan beberapa penyedia makanan tempatan Malaysia bagi hidangan panas dalam penerbangan."
Pada masa yang sama, Philip berkata pemilihan Sabah disebabkan negeri berkenaan selalu menjadi tumpuan para pelancong tempatan atau pelancong dari luar negara.
Sehubungan itu katanya, tiket penerbangan kini boleh didapati menerusi aplikasi Firefly, laman web, tempahan pejabat serta menerusi ejen pelancongan dan pelanggan boleh membuat tempahan di laman web Malaysia Airlines menerusi perkongsian kod bersama Firefly bermula sejak 1 Mac lepas.
-- BERNAMA
#Firefly #hab Pulau Pinang #mula semula operasi penerbangan #Philip See
;