Fintech, pendigitalan pacu pemulihan kewangan Islam pasca-COVID - Pakar
Bernama
Mac 10, 2021 04:23 MYT
Mac 10, 2021 04:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kewangan Islam dijangka menyaksikan pemulihan pada tempoh-tempoh pasca-COVID-19, dipacu oleh beberapa faktor termasuk pendigitalan, demikian menurut seorang pakar industri tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD), Ayman Sejiny berkata pandemik itu juga terbukti telah mempercepat pembangunan pendigitalan yang merentasi bank-bank Islam serta membabitkan teknologi kewangan (fintech) Islam.
"Memandangkan kebanyakan negara-negara berdepan sekatan pergerakan, bank-bank dan institusi kewangan yang banyak bergantung dengan operasi cawangan, terpaksa menggunapakai mekanisme dan inovasi penyelesaian digital.
"Sudah pasti, aspek pendigitalan ini akan terus memainkan peranan penting dalam tempoh beberapa tahun akan datang menerusi peningkatan akses terhadap perkhidmatan kewangan serta transformasi industri.
"Pendigitalan ini juga dapat meningkatkan penggunaan, memperkemas proses berkaitan, mengurangkan kos serta menambah ketelusan institusi kewangan Islam dengan lebih berdaya tahan berbanding dalam bentuk konvensional," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangannya bertajuk 'Islamic Finance Challenges and Opportunities Amid COVID-19 Pandemic' (Cabaran dan Peluang Kewangan Islam Ketika Pandemik COVID-19) di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-16 yang diadakan secara maya pada Rabu.
Ayman menjelaskan, walaupun mendatangkan beberapa kesan negatif, penularan COVID-19 juga telah mendorong kepada pertumbuhan industri kewangan Islam di kawasan tertentu dengan mempercepat trend berkaitan seperti pelaburan tanggung jawab sosial serta tumpuan lebih ketara terhadap kemampanan sosial.
"Sebagai contoh, impak COVID-19 memberi peluang bagi sektor pasaran modal Islam, terutamanya penerbitan sukuk negara yang menjadi sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menampung pembiayaan defisit fiskal serta memenuhi keperluan fiskal dalam usaha membendung COVID-19.
"Ini dapat menjadi asas bagi mudah tunai dan pasaran yang aktif. Instrumen-intrumen ini juga sesuai dalam kes tertentu bagi memenuhi ketetapan patuh Syariah dan kualiti aset-aset mudah tunai," katanya.
Selain itu, Ayman berkata negara-negara seperti Malaysia dan Pakistan telah bertindak menerbitkan sukuk bagi mengurangkan impak pandemik tersebut.
"Bagi pembangunan hijau mampan dan bersesuaian, Indonesia menerbitkan sukuk global Wakala bernilai US$2.5 billion yang turut merangkumi sukuk hijau bernilai US$750 juta bagi tujuan pembangunan projek-projek lestari.
"Bank Pembangunan Islam juga berjaya mengumpulkan sebanyak US$1.5 billion menerusi sukuk mampan pertamanya bagi membantu pemulihan COVID-10 di negara-negara anggotanya," katanya.
Ayman juga menyifatkan instrumen kewangan Islam seperti sukuk sosial dapat membantu menyokong sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan selain menarik pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Malah, pada masa sama, ia turut mewujudkan peluang seperti kemunculan semula instrumen tertentu Islam seperti wakaf dan zakat yang berperanan mengurangkan impak COVID-19 ke atas kelompok paling mudah terjejas di negara-negara miskin.
-- BERNAMA
#Ayman Sejiny
#ekonomi
#COVID-19
#teknologi kewangan
#pembangunan pendigitalan
#sekatan pergerakan
#bank
#institusi kewangan
#digital
#fintech
#ketelusan
#konvensional
#pertumbuhan
#tanggung jawab sosial
#Sukuk
#aset mudah tunai
#pembangunan hijau
#pakar industri