FGV yakin kembali untung tahun ini

Najib Aroff
Februari 8, 2017 11:01 MYT
FGV menjalankan penanaman semula pada purata ladang seluas 16,000 hektar setahun
Tempoh sukar Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) sudah berlalu dan 2017 dijangka menjadi tahun firma itu kembali mencatat keuntungan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad, prestasi itu akan dipacu peningkatan jumlah pokok sawit matang susulan proses penanaman semula besar-besaran yang mula membuahkan hasil.
“Hasil kita pun meningkat dan yang utama adalah usaha kita untuk mengurangkan kos pentadbiran, itu banyak membantu kita dan mengurangkan kos.
“Keadaan yang teruk sudah berakhir bagi FGV, 2016 merupakan tahun terburuk kami. Saya rasa pendapatan kami akan lebih baik tahun ini dan tahun mendatang.” Katanya kepada media selepas majlis makan malam Sambutan Tahun Baru Cina FGV di ibu negara.
Zakaria menambah FGV bakal mengumumkan prestasi kewangan suku ke empat dan tahun penuh 2016 selepas Ahli Lembaga Pengarahnya bermesyuarat pada 22 Februari ini.
FGV menjalankan penanaman semula pada purata ladang seluas 16,000 hektar setahun, dan bagi tahun ini, sejumlah 70,000 hektar kawasan penanaman dijangka mencecah tempoh matang.
Ia sekaligus meningkatkan hasil tandan buah segar sebanyak 500,000 tan menjadikan hasil keseluruhan sebanyak 4.6 juta tan.
#Datuk Zakaria Arshad #FGV #penanaman semula sawit FGV
;