FGV perlu segera lantik juruaudit bebas dan boleh dipercayai
Ridauddin Daud
Oktober 16, 2020 17:07 MYT
Oktober 16, 2020 17:07 MYT
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) diharap segera melantik juruaudit bebas dan boleh dipercayai seperti diminta Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.
Usaha itu perlu dilakukan dengan pantas bagi menyelesaikan segera isu Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap minyak dan produk sawit keluaran FGV.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kesediaan CBP untuk mempertimbangkan semula sekatan itu merupakan petanda positif buat syarikat tersebut.
“Kami rasa ini langkah yang cukup positif dan kami harap apa dilakukan dapat meyakinkan pihak CBP dalam amalan baik dilaksanakan FGV.
“Kita harap hasilnya nanti dapat membantu pihak CBP untuk menarik balik sekatan yang telah dikenakan. Kami juga menyokong penuh tindakan FGV untuk melantik juruaudit yang bebas.
“Kami di pihak MPOB dan kerajaan akan bantu mana yang boleh untuk bantu selesaikan masalah ini. Ia penting untuk kesejahteraan industri kita,” katanya dalam temu bual secara Skype bersama Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, FGV mengadakan mesyuarat secara maya dengan CBP baru-baru ini namun mereka tidak memberi penjelasan konkrit berhubung sekatan itu.
Dalam pada itu, Ahmad Parveez berkata pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) sentiasa menitik beratkan segala aspek berkaitan kebajikan buruh.
“MSPO mempunyai tujuh prinsip utama dan salah satu prinsip penting ialah prinsip keempat yang mana menyatakan tanggungjawab sosial, keselamatan dan kesihatan pekerja serta syarat pekerja, perlindungan terhadap pekerja.
“Ia memang dititikberatkan dan salah satu prinsip asas pensijilan MSPO. Syarat ini juga menitikberatkan amalan berkenaan buruh yang merangkumi aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan buruh,” ujarnya.
Bahkan, katanya, MSPO juga memastikan segala akta-akta dan perundangan berkaitan industri juga sentiasa dipatuhi.
Astro AWANI pada 30 September lepas melaporkan Amerika Syarikat (AS) dilapor bakal mengharamkan import produk sawit daripada syarikat FGV Holdings Berhad.
CBP dalam satu kenyataan berkata, pengharaman itu berdasarkan hasil siasatan selama setahun yang mendakwa syarikat tersebut mengambil tenaga buruh paksa seperti penyeksaan terhadap golongan ditindas, keganasan fizikal dan seksual, melakukan ancaman dan penyimpanan pengenalan diri.
Siasatan itu turut mendakwa bahawa buruh paksa kanak-kanak telah digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit di syarikat tersebut.
CBP dalam kenyataan tersebut menegaskan pengharaman itu berkuat kuasa serta-merta.
#minyak sawit
#sawit
#FGV
#CBP
#FGV Holdings Berhad
#MPOB
#AS
#sekatan AS
#Ahmad Parveez
#rundingan
#import
#eksport
#Astro Awani
#buruh
#buruh kasar
#kebajikan buruh