FGV komited sokong agenda keselamatan makanan negara

Bernama
Oktober 7, 2023 04:20 MYT
FGV pada Sabtu memperkenalkan produk terbarunya, Yogurt Acerola di bawah jenama Bright Cow yang menggunakan Ceri Acerola. - Foto fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd komited menyokong agenda keselamatan makanan negara dengan menyediakan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat pada harga berpatutan untuk setiap lapisan masyarakat menerusi pelbagai jenama barangan pengguna.
Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holdings Bhd Razak Aya berkata pihaknya turut memperkenalkan produk terbarunya, Yogurt Acerola di bawah jenama Bright Cow pada Sabtu sebagai komitmen untuk agenda keselamatan makanan negara.
"Jika kita lihat kepada keselamatan makanan tenusu, kita baru mencapai 60 hingga 70 peratus untuk tahap sara diri (SSL). Ini adalah komitmen kami untuk meningkatkan lagi SSL dalam negara dan memperbanyakkan produk berasaskan tenusu yang daripada susu keluaran tempatan.
"FGV juga ada mengeluarkan makanan ternakan yang dihasilkan daripada sisa kelapa sawit yang diproses.
"Ia untuk diberi makan kepada lembu dan insya-Allah, harga yang ditawarkan adalah lebih murah dan ini sebagai membantu rakyat mendapatkan produk yang mampu milik selain ia juga produk sihat dan segar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yogurt Acerola di AEON BiG Wangsa Maju di sini pada Sabtu.
Mengenai agenda keselamatan makanan negara berkaitan beras, katanya FGV telah memulakan penanaman beras wangi di barat laut Selangor dan Seberang Perak meliputi kira-kira 700 hektar di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).
Beliau berkata ia dikelolakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melibatkan 400 orang pesawah dan harga yang ditawarkan adalah kompetitif.
"Sekarang isu beras tempatan hangat diperkatakan, jadi inilah satu komitmen kita untuk memastikan beras tempatan beras wangi juga dihasilkan oleh petani tempatan bukan sahaja beras putih biasa.
"Ini akan mengurangkan kebergantungan negara kepada import dan memastikan ada keterjaminan hasil yang baik.
"Alhamdulillah, dengan kerjasama FGV dan pesawah, hasil dapat ditingkatkan sehingga dua kali ganda kepada 6 hingga 7 tan satu hektar berbanding 3.5 hingga 4 tan satu hektar bagi beras wangi," katanya.
Beliau berkata sekiranya semua petani dapat menggandakan hasil, negara tidak perlu lagi bergantung kepada import.
"Usaha ini telah berjalan dan ia memerlukan komitmen yang panjang tetapi sebagai bukti konsep, FGV telah memulakan dan memastikan kejayaan projek ini dengan melancarkan beras SAJI Aroma (beras wangi Malaysia).
"Kita sudah mula dua tahun dalam lima musim dan kita telah lihat peningkatan daripada pesawah serta komitmen daripada mereka," katanya.
Dalam pada itu, FGV pada Sabtu memperkenalkan produk terbarunya, Yogurt Acerola di bawah jenama Bright Cow yang menggunakan Ceri Acerola, sejenis buah super tropika yang dikenali dengan kandungan vitamin C yang tinggi sebagai bahan utamanya.
Ia didatangkan dalam dua perisa tempatan iaitu Kelapa Gula Melaka dan Nanas.
Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor berkata semua yogurt yang dihasilkan mereka adalah daripada susu segar yang diperoleh dari ladang kami di Linggi, Negeri Sembilan.
"Melalui pendekatan dari ladang ke meja, kami menawarkan pelbagai produk seperti susu segar berkhasiat, yogurt berkrim, kefir segar serta susu UHT.
"Pelancaran hari ini memperkukuhkan lagi inisiatif FGV dalam usaha mendefinisikan semula peranan kami sebagai sebuah syarikat yang memperjuangkan agenda produk makanan dan agri yang lestari untukgenerasi akan datang.
"Kami komited untuk memainkan peranan penting dalam agenda keselamatan makanan negara dengan menyediakan produk pada harga berpatutan, berkualiti dan berkhasiat untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Sepanjang Oktober hingga Disember, Bright Cow mengadakan promosi akhir tahun dengan menjual Yogurt Acerola 120 gram pada harga RM1.99 (harga runcit: RM3.00) dan Yogurt Greek pada harga RM2.90 (harga runcit: RM3.90).
Produk tenusu lain seperti susu segar dan kefir juga boleh dibeli pada harga diskaun di semua 650 pasaraya termasuk AEON, AEON BiG, Giant, Village Grocer, Jaya Grocer, Mercato dan Ben's Independent Grocer.
Jualan Bright Cow untuk tahun 2024 dijangka naik dua kali ganda berbanding tahun ini.
-- BERNAMA
#FGV #harga diskaun #susu segar #promosi akhir tahun
;