FGV kekal komited terhadap amalan pengambilan pekerja bertanggungjawab
Bernama
Ogos 19, 2024 19:10 MYT
Ogos 19, 2024 19:10 MYT
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd kekal komited terhadap amalan pengambilan pekerja yang bertanggungjawab dan prinsip 'tiada yuran pengambilan' untuk bekas pekerja migran melalui program pembayaran baliknya.
Menurut FGV dalam kenyataan hari ini, pihaknya telah menghubungi bekas pekerja untuk mengemukakan tuntutan mereka di bawah Program Pembayaran Balik Bekas Pekerja sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memastikan amalan buruh yang beretika dalam operasinya.
"Skop program pembayaran balik itu meliputi bekas pekerja dari Indonesia, India dan Bangladesh yang diambil bekerja untuk FGV pada atau selepas 30 Sept 2018 dan telah meninggalkan pekerjaan mereka dengan FGV sebelum atau pada 31 Dis 2022," katanya.
Menurut FGV, mereka perlu menyerahkan borang permohonan tuntutan tersebut secara dalam talian sebelum atau pada 31 Dis 2024, bersama-sama dengan dokumen termasuk butiran pasport, ID pekerja dan maklumat akaun bank.
Pemohon yang berjaya akan dihubungi melalui telefon bimbit dalam tempoh 15 hari bekerja selepas penyerahan permohonan.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memartabatkan hak asasi manusia, FGV telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk melindungi hak pekerja asing, termasuk menguatkuasakan polisi 'Tiada Yuran Pengambilan', pembinaan kapasiti dan usaha wajar yang ketat ke atas agensi pengambilan.
Syarikat telah memperuntukkan RM112 juta untuk membayar balik yuran pengambilan kepada pekerja migrannya, termasuk bekas pekerja migran.
Setakat ini, ia telah membayar RM74.15 juta kepada 22,091 pekerja migran dan pembayaran balik ini akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.
-- BERNAMA